Tuesday, June 28, 2022

GPS yakin raih sokongan belia

Secara Rawak

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin berjaya meraih sokongan belia di negeri ini menerusi pelbagai pendekatan melalui program dan dasar yang inklusif melibatkan golongan tersebut.

Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan GPS sentiasa memberikan perhatian kepada generasi muda selain mengambil berat tentang masyarakat umum.

“Terdapat juga kesedaran untuk melibatkan golongan muda dalam dasar dan program yang dilaksanakan.

“Kita tidak boleh mengubah fikiran seseorang dalam sehari, ia adalah satu proses dan dengan itu Kerajaan Sarawak telah dan sedang menyediakan platform serta asas yang melibatkan golongan belia, katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Tertinggi Wanita PBB di Ibu Pejabat PBB, di sini kelmarin.

Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti menambah, sokongan orang muda terhadap GPS juga terbukti dan dapat dilihat melalui PRN-12 tahun lalu.

“Contohnya, di pusat mengundi kita mempunyai saluran yang biasanya untuk mereka yang berusia dari usia 50 atau 60 tahun, manakala saluran dua dan tiga biasanya untuk golongan muda.

“Kalau kita buat perbandingan, saya melihat contoh di kawasan saya sendiri (Dalat), sokongan dari saluran satu dan tiga adalah hampir sama.

“Warga emas kita atau golongan yang sudah berusia memberi sokongan padu kepada GPS, dan kita juga dapati undi serta sokongan terhadap GPS daripada golongan belia tidak jauh bezanya,” ujar Fatimah.

Menjelas tentang Mesyuarat Tertinggi Wanita PBB semalam beliau memaklumkan, mereka turut berbincang dan mendengar pandangan ahli majlis mengenai Undi 18.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut tentang perbincangan tersebut dan memaklumkan mereka akan membawanya ke jawatankuasa tinggi.

“Kita akan bawa pandangan ini kepada badan yang lebih tinggi daripada Pergerakan Wanita iaitu jawatankuasa induk.

Semoga cadangan kami nanti diterima oleh jawatankuasa yang berkaitan,” tegasnya.

Terdahulu, menerusi kenyataan, Pergerakan Wanita PBB menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk menubuhkan sayap belia umur 18 hingga 28 tahun.

Selain itu, mereka juga melihat ia sesuai dengan peredaran masa dan memandangkan penglibatan orang muda dalam sistem demokrasi negara serta politik maka sudah tiba masan PBB diremajakan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru