Saturday, June 25, 2022

Sarawak fokus bantu rakyat manfaatkan tanah untuk jana pendapatan

Secara Rawak

SARIBAS: Kerajaan Sarawak akan memberi penekanan bagi membantu penduduk luar bandar memanfaatkan tanah sebagai medium menjana pendapatan yang stabil.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, usaha itu salah satu daripada keutamaan kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain meningkatkan capaian internet di luar bandar.

“Antara yang menjadi keutamaan Kerajaan GPS sekarang adalah membantu rakyat luar bandar menjana pendapatan yang stabil dengan mengusahakan tanah mereka.

“Selain itu, kerajaan juga menekankan keperluan untuk meningkatkan capaian internet atau menambah baik perkhidmatan yang sedia ada,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penghargaan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Bakong, Ubar dan Rimbas Ili di Dewan Masyarakat Spaoh yang telah memberikan kerjasama memastikan kemenangan GPS untuk kawasan Saribas pada Sabtu.

Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas menambah, penjanaan pendapatan rakyat menerusi sektor pertanian akan menggunapakai pertanian moden selain memberi bimbingan berkala kepada penduduk melalui jabatan dan agensi berkaitan.

“Di Betong, Kerajaan Sarawak telah meluluskan untuk mewujudkan agropark di Bebuling dan Lubok Tamang degan sebahagian daripada RM108 juta peruntukan bagi pelaksanaan projek Lapangan Terbang Bebuling.

“Agropark ini akan menjadi model pertanian untuk membimbing penduduk menggunakan pertanian moden,” jelasnya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menegaskan kemenangan GPS semasa pilihan raya negeri baru-baru ini adalah di atas keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kemenangan ini perlu diterjemahkan setiap wakil rakyat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Wakil rakyat juga perlu mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada rayat untuk membuat perancangan pembangunan dan penting bagi membantu mereka keluar dari belenggu kemiskinan,” tambahnya.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap ADUN Saribas, Mohd Razi Sitam dan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru