Tuesday, June 28, 2022

Omicron sudah menular di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Omicron kini menggantikan Delta sebagai varian Covid-19 yang menular di Sarawak.

Menurut Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof. Dr. David Perera, kadar pengesanan 78 peratus Omicron telah ditemui daripada data pengawasan kes positif yang dilakukan dari 3 hingga 26 Januari lalu.

“Sebanyak 58 sampel diperolehi dalam tempoh tersebut dan daripada jumlah itu, 45 Omicron dan 13 Delta telah dikesan.

“Kadar pengesanan 78 peratus menunjukkan bahawa Omicron menggantikan Delta sebagai varian dominan yang menular di Sarawak,” katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu dalam laporan terbarunya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Dr David menambah kes Omicron dikesan dalam sampel yang diambil dari Kuching, Samarahan, Sibu, Kapit, Mukah dan Miri.

Katanya kebanyakan kes berlaku melalui penularan komuniti.

Memandangkan peningkatan jumlah kes di negeri ini, Dr. David yang merupakan ahli Kumpulan Penasihat Vaksin Covid-19 Sarawak (SCoVAG), menasihati mereka yang masih belum mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 untuk berbuat demikian dengan segera.

Katanya kajian telah menunjukkan bahawa dos penggalak adalah perlu untuk melindungi diri daripada jangkitan Omicron.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan mengelak perhimpunan komuniti.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru