Tuesday, June 28, 2022

Lelaki maut dalam kemalangan membabitkan lori dan kenderaan pacuan empat roda di Serian

Secara Rawak

SERIAN: Seorang lelaki maut selepas tertanam di bahagian kepala lori dalam kemalangan di Jalan Kampung Paon Rimu, di sini semalam.

Kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 petang melibatkan sebuah lori membawa muatan sawit dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbalik di selekoh jalan kawasan kemalangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata mangsa, 20, bekerja sebagai kelindan lori dikeluarkan pada 11.10 malam setelah kedudukan lori berjaya dipindahkan dengan menggunakan jengkaut dan ditarik dengan sebuah lagi lori.

Katanya, mangsa ditemui dan disahkan tertanam di bawah bahagian kepala lori berkenaan.

“Mangsa telah berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, PGO Bomba Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian lalu mengerakkan enam anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi.

Dalam kejadian itu katanya, tiga mangsa dari kenderaan pacuan empat roda berjaya dikeluarkan dan telah dibawa ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala pemandu lori berjaya dikeluarkan dan berada dalam keadaan selamat.

Katanya, pemandu lori berkenaan memaklumkan dia bersama seorang lagi kelindan ketika kejadian dan ketika menghubungi telefon rakannya, kendengaran bunyi telefon berkenaan namun tidak terjawab.

Justeru, usaha untuk mengesan mangsa dijalankan dengan bantuan jentera jengkaut serta sebuah lori.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru