Tuesday, June 28, 2022

Gunakan kemahiran untuk tingkatkan pendapatan –  Ahli Parlimen Tanjong Manis 

Secara Rawak

TANJONG MANIS: Seramai 14 orang peserta Kelas Kemahiran Pusat Masakan Kemas Sarikei telah menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) ‘Penyediaan dan Pembuatan Makanan Tahap 2’ yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab pada Sabtu.

Kelas kemahiran yang dianjurkan oleh Unit Pendidikan Kemahiran KEMAS Tanjung Manis itu bertujuan memberi peluang kepada golongan sasar mengikuti dan memiliki sijil SKM melalui kaedah pengiktirafan pencapaian terdahulu (SKM-PPT).

Dalam ucapan perasmiannya, Ir Yusuf mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan menggunakan semua kemahiran yang diperolehi untuk meningkatkan pendapatan masing-masing.

“Kebanyakan peserta datang daripada Sarikei, Tanjong Manis dan Bintangor, jadi tujuan mereka mengikuti kursus ini supaya mereka matang, belajar cara-cara penyediaan dan pembuatan makanan yang telah diajar oleh pengajar dari KEMAS.

“Kita berharap apabila mereka telah berjaya dengan kursus ini mereka akan dapat menyumbang untuk mendapatkan atau menambah pendapatan keluarga dan mungkin juga melangkah jauh dengan menjadi usahawan dengan memanfaatkan sijil SKM,” katanya ketika ditemubual UKAS setelah selesai menyempurnakan majlis tersebut.

Selain itu, beliau menambah supaya para peserta dapat memanfaatkan penggunaan teknologi yang sedia ada termasuk media sosial untuk tujuan mempromosikan produk yang dihasilkan.

“Dengan teknologi yang ada seperti telefon bimbit dan komputer, gabungkan pengetahuan dari segi teknologi supaya mereka boleh merancakkan lagi usaha mereka dan maju ke hadapan sebab kita tahu dalam dunia sekarang pentingnya penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian,” ujarnya lagi.

Beliau juga peka dengan permasalahan yang dialami oleh kelas dan tadika Kemas yang masih daif dan memerlukan bantuan untuk memberi keselesaan kepada anak-anak mendapat ilmu pengetahuan.

Dalam pada itu, Ir Yusuf juga menekankan agar semua yang hadir terus yakin dengan saranan kerajaan terutamanya mengenai pengambilan vaksin dos penggalak untuk melandaikan jangkitan COVID-19 dari menjadi semakin serius. 

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru