Saturday, June 25, 2022

Umno tak akan biarkan parti diperlekeh sesuka hati

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa UMNO bukan berpolitik dengan angkat retorik atau sanggup ‘menghalalkan’ apa-apa saja.

Sebaliknya menurut beliau, UMNO ialah parti yang melaksakana khidmat bakti untuk rakyat sejak dari penubuhannya hingga kini.

“Bukan baru malah sejak penubuhannya pada tahun 1946 pun UMNO dah berjuang demi rakyat. Waktu jadi kerajaan, waima jadi pembangkang pun UMNO masih bersama rakyat. Tak kiralah, sama ada jadi kerajaan, jadi pembangkang dan sekarang jadi sebahagian kerajaan pun, pelbagai tohmahan jahat diberikan pada UMNO.

“Sebenarnya, tuduhlah UMNO dengan apa pun, nama binatang atau kluster apa sekalipun, insya-Allah semangat perjuangan yang tersemat sebagai parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara tak akan luntur,” katanya melalui satu kenyataan di Facebooknya.

“Sememangnya, memperjuangkan rakyat adalah tanggungjawab UMNO, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama biarpun UMNO adalah berteraskan bangsa Melayu, tapi tak pernah menidakkan hak orang lain. UMNO bukan berpolitik dengan angkat retorik atau sanggup ‘menghalalkan’ apa saja. UMNO tak pernah menolak penyatuan malah meraikannya tapi tak akan pula membiarkan  parti diperlekeh sesuka hati,” ujar Ahli Parlimen Putrajaya itu lagi.

Jelasnya, sejak sebelum merdeka, kutukan terhadap UMNO sudah dibuat oleh parti politik lawan kerana tindakan UMNO bergabung dengan MCA dan MIC membentuk parti Perikatan.

“UMNO dituduh memperjudikan nasib orang-orang Melayu dan ‘menjual’ bangsanya sendiri dan yang terlalu berat untuk diterima apabila UMNO dikatakan sebagai kafir kerana penggabungan terbabit. UMNO/BN dikecam dengan pelbagai tuduhan tapi tetap juga meneruskan pentadbiran berkerajaan,” katanya.

Dalam hal ini beliau mengimbas tentang tuduhan terhadap pentadbiran BN ketika berkerajaan di Selangor dengan mengaitkan kilang arak sebagai isu yang diangkat oleh pihak lawan.

“Ingat tak lagi isu kilang arak di Selangor. UMNO/BN dituduh tidak serius memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Malangnya, apabila mereka mendapat kuasa, mereka bertindak jauh lebih teruk daripada UMNO/BN hinggakan bukan hanya setakat bekerjasama dengan Dap yang menolak Islam secara terang-terangan, tapi turut berkompromi dalam isu-isu tertentu yang nyata bertentangan dengan Perlembagaan negara,” ujarnya.

Tegas beliau, Malaysia sudah sangat ke depan di bawah pimpinan UMNO/BN sebelum PRU-14 tapi kini kembali mundur.

“Maka tolaklah sifat hasad dengki iri hati pengacau-pengacau yang cuba merosakkan hasrat UMNO/BN untuk mengembalikan kestabilan negara demi rakyat.

“Ya, kita sedari UMNO/BN tidaklah sempurna, tapi insya-Allah dengan sokongan semua hasrat demi agama, bangsa dan negara tetap akan diperjuangkan,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru