Wednesday, May 25, 2022

3 atlet Muaythai Sarawak cemerlang

Secara Rawak

KUCHING: Tiga atlet muaythai remaja Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) mempamer aksi cemerlang dengan menyumbang pingat emas dalam Kejohanan Muaythai Antara Kelab-Kelab Kebangsaan 2021 Kali Keempat yang diadakan dari 27 hingga 30 Januari 2022 di Kuala Lumpur.

Pasangan adik-beradik, Mikail Ghazali Zulfikar dan Muhammad Johan Ghazali Zulfikar tidak menghampakan apabila merangkul emas dalam kategori remaja lelaki 12-13 tahun dan 14-15 tahun.

Mikail Ghazali menundukkan pemenang perak, Muhammad Afiq Syazwan Mohd Fazli dari kelab KMHFL manakala Harith Zafran (KMSM) dan Muhammad Shah Putera (EUC) berkongsi tempat ketiga.

Abangnya, Muhammad Johan Ghazali pula menewaskan Muhammad Syafiq Efenddy Abdullah dari KWM sementara Marshall Jaydden (SKM) di tempat ketiga.

Satu lagi emas PMNS disumbangkan Texas Jeremy Lo dalam kategori remaja lelaki 12-13 tahun dengan menumpaskan pencabar dari RMFTF, Rochester Nathangel Danise Savio.

Sementara itu, Mohammad Hairol Salmi menghadiahkan perak kepada PMNS setelah tumpas kepada Muhammad Hairie Mahmad dalam kategori lelaki senior bawah 51kg.

Manakala Nur Azirah Mohamad Yudi menyumbang gangsa dalam kategori Senior Wanita Bawah 60kg yang dimenangi Nor Atiqah Zainun Zainunddin (KMKMM) manakala perak milik Asmawati Ambo Tuwo.

Dua lagi atlet senior, Ayu Addyqa Azmi dan Khairul Aiman Muzaffar Agus gagal meraih sebarang pingat.

Turut gagal Jordan Bokoet Herman selepas tewas di pusingan pertama dalam kategori senior lelaki 60-63.5 kg.

Untuk rekod, Mikail Ghazali dan Muhammad Johan Ghazali berlatih bersama Kelab Muaythai Rentap manakala Texas Jeremy berlatih di Kelab SS Fighter.

Mohammad Hairol dan Nur Azirah pula berguru di Kelab Muaythai Sting.

Kesemua atlet berkenaan adalah di bawah Pusat Pembangunan Muaythai Sarawak yang mendapat sokongan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bersama PMNS.

PMNS dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada SSC dan MSNS atas sokongan hingga membolehkan Sarawak menghantar penyertaan dalam kejohanan tersebut.

Kejohanan anjuran Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) itu kembali diadakan selepas dua tahun terhenti akibat penularan wabak Covid-19.

Ia menjadi pembuka tirai kepada kalendar aktiviti PMM untuk tahun 2022 dengan beberapa lagi kejohanan besar telah dirancang untuk diadakan.

Antaranya Kejohanan Kickboxing Terbuka Malaysia (Februari), Kejohanan Muaythai Elit Kebangsaan (Mac), Kejohanan Muaythai Antara Sekolah Sekolah Kebangsaan (Jun), Kejohanan Muaythai Remaja Kebangsaan (Ogos) dan Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA 2022 (November).

 

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru