Monday, May 16, 2022

Sarawak berjaya tarik pelaburan RM15.7 bilion

Secara Rawak

KUCHING: Walaupun Sarawak berdepan pandemik Covid-19, negeri ini mampu menarik RM15.7 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan pada 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan negeri itu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia merupakan antara pencapaian yang tertinggi di Malaysia.

Katanya, empat syarikat multinasional sedia ada di zon perindustrian Sama Jaya di sini telah mengembangkan operasi perniagaan mereka dengan pelaburan RM6.3 bilion.

“Manakala sebuah lagi syarikat di taman perindustrian Samalaju Bintulu telah melabur tambahan RM1.3 bilion untuk pengembangannya.

“Keputusan mereka untuk terus mengembangkan perniagaan mereka di Sarawak, terutamanya semasa wabak ini, jelas mencerminkan keyakinan kuat mereka terhadap kepimpinan negeri kita, dan dalam cara kita menguruskan wabak dan ekonomi,” katanya pada Anugerah Usahawan Terbaik Negeri Sarawak 2021, semalam.

Sementara itu, beliau berkata negeri itu terus berhubung dengan pelabur asing yang berpotensi melalui persidangan video untuk pengeluaran bahan api hidrogen hijau berskala besar, petrokimia, kimia dan industri intensif tenaga, dari Australia, China dan Korea Selatan.

Mengenai anugerah itu, Awang Tengah yang merupakan Timbalan Ketua Menteri menjelaskan bahawa program itu adalah kerjasama antara Kementeriannya, Dewan Perniagaan dengan Perindustrian Sarawak (SCCI), dan Ernst and Young (EY) sejak 2004.

Katanya, anugerah ini mengiktiraf pencapaian usahawan tempatan dalam pelbagai bidang, bukan sahaja kecemerlangan keusahawanan tetapi juga tanggungjawab sosial korporat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru