Monday, May 16, 2022

Penumpang terkandas, juruterbang enggan pandu pesawat sebab syif tamat

Secara Rawak

PAKISTAN: Kisah juruterbang Pakistan International Airlines (PIA) enggan memandu semula pesawatnya selepas melakukan pendaratan kecemasan tular di media sosial baru-baru ini.

Juruterbang tersebut enggan terbang lebih jauh dengan memberi alasan syifnya sudah tamat.

Menurut The Express Tribune, penerbangan PK-9754 berlepas dari Riyadh dan sepatutnya terbang ke Islamabad.

Bagaimanapun, cuaca buruk memaksa juruterbang mendarat di Dammam, Arab Saudi.

Masalah menjadi rumit apabila juruterbang pesawat itu enggan terbang lebih jauh selepas melakukan pendaratan cemas tersebut.

Media tempatan melaporkan juruterbang yang tidak dinamakan itu enggan meneruskan penerbangan, dengan alasan waktu bertugasnya sudah tamat.

Sementara itu, penumpang di dalam pesawat pula enggan turun dari pesawat dan mula memprotes kelewatan dalam perjalanan mereka.

Apabila keadaan menjadi semakin tegang, pasukan keselamatan lapangan terbang Dammam terpaksa dipanggil untuk mengawal situasi.

Akhirnya, penumpang yang terkandas disediakan penginapan di sebuah hotel sehingga mereka dapat meneruskan perjalanan ke Islamabad di Pakistan.

Dalam pada itu jurucakap PIA memberitahu “seorang juruterbang harus berehat kerana ia penting bagi memastikan keselamatan penerbangan.”

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru