Monday, May 16, 2022

Kemenangan GPS milik bersama rakyat Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Semangat kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang lepas diharapkan dapat dikekalkan terutama di kawasan Stakan, kata Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang. Menurutnya, ia bertujuan memastikan kejayaan berterusan bagi GPS di Sarawak pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

“Saya sebagai wakil rakyat di Parlimen amat berbangga dengan komitmen dan kejayaan yang telah dicapai dalam PRN-12 lalu.

“Ia merupakan satu kejayaan yang luar biasa dengan pencapaian kemenangan 92.7 peratus iaitu sebanyak 76 kerusi telah dimenangi GPS,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Apresiasi N17 Stakan, di Hotel Raia & Convention Centre, pada 23 Januari lalu.

Dalam pada itu, Rubiah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Adun Stakan Datuk Hamzah Brahim yang telah berjaya menang dengan cemerlang.

Katanya, kejayaan yang dicapai itu merupakan kemenangan milik bersama atas usaha yang dilakukan oleh Adun Stakan.

“Tidak lupa juga, tahniah kepada petugas-petugas PRN12 Stakan terutama jentera parti GPS iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sama ada bapa, pemuda atau wanita yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh komitmen untuk meyakinkan masyarakat di Stakan.

“Sesungguhnya, anda semua adalah satu jentera kuat dan mampan yang sentiasa menunjukkan komitmen tanpa mengira masa pada PRN-12 lalu,” tegasnya.

Malah, Rubiah turut menyatakan penghargaannya kepada komponen parti iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan para pengundi yang memberi sokongan dalam usaha memastikan Stakan untuk terus menjadi kubu kuat GPS.

“Begitu juga dengan agensi-agensi dan pihak media serta semua pihak yang terlibat yang banyak membantu kemenangan kawasan ini,” katanya.

Tambahnya, beliau bersetuju dengan kenyataan Hamzah bahawa sesungguhnya semua pihak perlu bekerjasama dan saling membantu di kawasan Stakan untuk mencapai apa yang diinginkan sekali gus memberikan keselesaan serta kesejahteraan di kawasan tersebut.

Sementara itu, Rubiah mengatakan bahawa pihaknya akan cuba untuk mengatasi semua isu yang telah diketengahkan dalam PRN-12 yang lepas dengan sebaik mungkin.

Jelasnya, pihaknya turut berharap akan mendapat komitmen yang lebih hebat daripada kerajaan negeri dan persekutuan bagi memastikan masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru