Thursday, May 26, 2022

Kekosongan 88 atlet tarik diri bakal diisi

Secara Rawak

KUCHING: Semua persatuan sukan Sarawak akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membincangkan persediaan atlet-atlet yang akan mewakili Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tindakan itu bagi mengenal pasti atlet-atlet yang layak mengisi kekosongan susulan penarikan diri seramai 88 atlet Sarawak dalam kejohanan terbabit.

“Dalam jangka masa terdekat ini kita harap dapat mengangkat atlet-atlet sedia ada atau yang sudah dimasukkan dalam jadual pasukan untuk acara sukan tertentu dapat naik ke peringkat seperti diharapkan.

“Mesti ada perancangan atau cara kita mencungkil bakat-bakat secara terus-menerus, jadi sekiranya ada seorang dua yang terkeluar dari suatu sukan mesti ada yang lain.

“Kita akan jumpa semua persatuan sukan supaya dapat mengangkat atlet sedia ada untuk masuk ke sukan tertentu (SUKMA).

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Penghargaan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) 2021 di Hotel Pullman, semalam.

Jelas Karim, biar pun penarikan diri atlet sedikit sebanyak menjejaskan persiapan SUKMA 2022 Kontinjen Sarawak namun dilihat membuka peluang kepada pelapis atlet berkelayakan.

Mengenai atlet yang menarik diri katanya, beliau berharap mereka bukanlah dari golongan atlet yang dijangka meraih pingat dalam kejohanan itu kelak.

Tambahnya, selain penarikan diri atlet, kemunculan pandemik Covid-19 bermula dua tahun lalu turut menjadi faktor menjejaskan persiapan SUKMA.

“Apabila kita menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu, sedikit sebanyak menjejaskan persiapan atlet-atlet sama ada SUKMA atau pertandingan yang lain.

“Kita terpaksa terima dan akur, jika negeri kita terjejas negeri lain juga terjejas, perkara ini adalah satu perkara yang melanda dunia,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru