Monday, May 16, 2022

Rakyat mahukan kemakmuran, keharmonian

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia mengharapkan sebuah keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan yang pernah dicapai negara pada suatu ketika dahulu, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun menurut beliau demi memperoleh situasi tersebut perkara paling utama adalah dengan mencapai kestabilan yang membawa maksud negara ditadbir oleh sebuah kerajaan kukuh dan dominan.

“Kuncinya adalah kestabilan. Kestabilan politik, ekonomi, hubungan antara kaum dan segala-galanya. Demi mengecapi kestabilan adalah dengan negara kembali ditadbir oleh sebuah kerajaan yang kukuh terutama ditadbir parti politik yang berpengalaman dan mempunyai trek rekod dalam membangunkan Malaysia.

“Pendapat ini bukan berlebihan atau berunsurkan retorik, tetapi berlandaskan fakta dan kebenaran. Kita masih ingat Malaysia pernah berada di tangga ke-35 dalam Ranking of Happiness berdasarkan World Happiness Report 2018. Hanya selepas tempoh setahun kedudukan Malaysia jatuh 45 anak tangga di kedudukan ke-80 dalam World Happiness Report 2019, “ katanya menerusi satu hantaran di Facebook..

“Kemudian jatuh ke tangga ke-82 berdasarkan World Happiness Report pada tahun 2020 sebelum meningkat sedikit satu anak tangga di kedudukan ke-81 dalam World Happiness Report 2021. Selepas lebih tiga tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-14, tiada tanda-tanda kedudukan Malaysia akan kembali meningkat secara signifikan,” katanya

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga meluahkan kebimbangan kerana pelbagai kemelut dihadapi negara hanya pada bulan pertama tahun 2022 bermula.

Beliau menambah keadaan ini akan menjadikan kedudukan Malaysia dalam Ranking of Happiness jatuh kerana implikasinya bukan sahaja memberikan persepsi tidak baik masyarakat dunia kepada negara tetapi juga pandangan pelabur.

“Kita terpaksa menerima hakikat Malaysia memulakan tahun baharu 2022 dengan langkah kiri. Kurang sebulan Januari bermula telah terlalu banyak kemelut dan isu yang ‘menyemakkan’ kepala rakyat berlaku.

“Pergeseran antara agensi kerajaan, isu berkaitan umrah, larangan pakai songkok dan kopiah, teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan banyak lagi. Kesemua yang terjadi memberi kesan secara langsung mahupun tidak langsung kepada masyarakat.

“Kita tidak pasti di mana silapnya, namun bukan ini yang rakyat harapkan untuk Malaysia memulakan tahun 2022. Rakyat tidak mahu kehidupan mereka ‘disemakkan’ dengan isu-isu yang menambah kerungsingan sedia ada,” ujar beliau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru