Monday, May 16, 2022

PM: Guru boleh berpolitik, tetapi jangan abaikan tugas hakiki

Secara Rawak

BERA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) agar tidak mengabaikan tugas hakiki sebagai pendidik walaupun diberi kebenaran untuk berpolitik.

Beliau berkata, perincian mengenai kebenaran berpolitik itu akan dikeluarkan pihak terlibat seperti KEMAS, dan akan dirujuk bagi persetujuan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebelum dijadikan panduan kepada golongan itu.

“Kita kena tunggu perincian ini, yang akan menentukan sejauh mana had yang dibenarkan (untuk berpolitik)…seperti adakah mereka boleh memegang jawatan dalam parti, tiada larangan untuk menghadiri program politik dan tidak akan dikenakan tindakan seperti sebelum ini.

“Kita beri kebenaran ini sebagai menghormati amalan demokrasi, dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga bersetuju dengan kebenaran itu. Namun sekalipun dibenarkan, jangan sampai ia menjejaskan kerja hakiki,” katanya.

Ismail berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama kakitangan KEMAS daerah Bera di Pejabat KEMAS Bera di sini hari ini seperti dipetik Bernama.

Mengenai jangkaan bila perincian itu dapat diumumkan, Ismail berpandangan ia tidak akan mengambil masa lama memandangkan garis panduan kebenaran berpolitik kepada golongan pendidik sudah ada sebelum ini, iaitu sebelum kebenaran itu disekat semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang pihak terlibat kena lihat semula apa yang telah digariskan dan mungkin lakukan penambahbaikan yang diperlukan. Ini juga kita serahkan kepada KEMAS,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru