Thursday, May 19, 2022

Kejayaan GPS diraikan penuh kesyukuran di Sebuyau

Secara Rawak

SEBUYAU: Kemenangan dan kejayaan Gabungan Parti sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) turut diraikan di Sebuyau dengan meriah namun mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Satu majlis kesyukuran telah diadakan di Dewan Pembangunan Sebuyau pada Sabtu bagi meraikannya sekaligus untuk pengiktirafan daerah Sebuyau menjadi daerah penuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi semasa berucap dalam majlis tersebut berkata, beliau menyifatkan kemenangan bergaya GPS ini adalah satu hadiah yang cukup bermakna untuk orang Sarawak khasnya di DUN Sebuyau.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada  Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di atas kemenangan besar GPS pada pilihan raya kali ini.

“Kemenangan yang besar kali ini, merupakan hadiah untuk  parti GPS yang merupakan parti yang terbaik untuk memimpin negeri Sarawak.”

Katanya, beliau turut bersyukur kerana dengan berkat doa, kerjasama dan kerja keras semua jentera parti serta penduduk kawasan yang bertungkus lumus bagi kemenangan GPS pada pilihanraya ini.

Datuk Julaihi juga berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana memberi peluang dalam menyertai kabinet Sarawak dengan memegang jawatan Menteri Penuh.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, beliau yakin Datuk Julaihi dapat membawa lebih banyak pembangunan di dalam kawasan ini melalui portfolio yang dipegangnya ketika ini.

Ujar beliau lagi, kejayaan ini dapat dicapai atas usaha dan kerja kuat daripada jentera parti PBB dan parti-parti komponen yang lain yang ada.

“Oleh yang demikian, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada anda semua kerana berjaya mengekalkan Sebuyau sebagai kubu kuat PBB dan GPS,” katanya semasa hadir sama dalam majlis tersebut.

Turut hadir Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu dan semua jentera parti Cawangan Sebuyau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru