Monday, May 16, 2022

Empat lelaki ditahan tunggang motosikal secara melulu dan berbahaya

Secara Rawak

KUCHING: Tiga remaja lelaki antara empat individu yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan malam tadi kerana menunggang motosikal secara berbahaya dan melulu.

Operasi yang bermula jam 4 petang sehingga 5 pagi dijalankan tiga pegawai dan enam anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Jalan Tun Abdul Rahman Ya’kub, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superitenden Alexson Naga Chabu berkata empat suspek yang ditahan berumur lingkungan 15 ke 21 tahun.

Katanya, tiga remaja berkenaan melakukan aksi “Superman” dengan mengangkat kedua-dua kaki ke belakang dan bersaing sesama sendiri.

“Sementara, seorang suspek, melakukan aksi “Wheelie” dengan mengangkat tayar hadapan. Aksi yang ditunggang secara melulu serta merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Alexson berkata, pasukan operasi telah memeriksa seramai 45 individu dan memeriksa sebanyak 42 buah kenderaan.

Katanya, sebanyak 84 keping saman dikeluarkan dalam operasi tersebut manakala dua buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru