Wednesday, May 18, 2022

Tingkat sistem pendidikan Cina di Sarawak

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kai Nang merupakan usaha Kerajaan Sarawak meningkatkan sistem pendidikan bahasa Cina kepada semua bangsa di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Sim Hui Kian menegaskan, usaha itu ditekankan bagi memastikan generasi muda mampu berdaya saing pada peringkat global.

Tambahnya, usaha memperkasakan pendidikan bahasa Cina dilaksanakan sejak pemerintahan Allahyarham Datuk Sri Adenan Satem dan diteruskan di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana meneruskan penglibatan kepada polisi pendidikan Cina.

“Tambahan pula kita kini memiliki unit khas di bawah Kerajaan Sarawak.

Salah satu sebabnya kita mahukan setiap bangsa generasi muda mempunyai peluang untuk berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

“Adanya pemerkasaan Bahasa Cina membantu menuju Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030 iaitu Sarawak makmur dan kaya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah SJK (C) Kai Nang di Jalan Midway Samarahan, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah-Sekolah Rendah Bantuan Cina, Datuk Jonathan Chai memberitahu pembinaan sekolah terbabit dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2023.

Menurutnya, jumlah kos keseluruhan projek dianggarkan sekitar RM9 juta bagaimanapun masih belum mencukupi.

“Setakat ini kita sudah memperoleh sebanyak RM2 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang mana kita perlu peruntukan lagi lebih RM5 juta.

“Jadi kita mengharapkan dengan adanya bantuan Dr Sim mampu mendapat lebih banyak sumbangan daripada unit khas untuk sekolah Cina di bawah kementerian beliau,” katanya.

Dedah Jonathan, sekolah terbabit asalnya dari Sibu dan kali pertama diperluaskan ke Kota Samarahan.

Tujuan tersebut katanya, berikutan kekurangan murid dan memastikan pengurusan lembaga masih berfungsi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru