Saturday, May 21, 2022

RM300 bil untuk tangani banjir 

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Lebih RM300 bilion diperlukan bagi cadangan penyelesaian jangka masa panjang fenomena banjir di seluruh negara dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun sehingga tahun 2100.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini termasuk projek pembangunan infrastruktur air seperti tebatan banjir, pembinaan benteng, ban dan pencegahan hakisan pantai.

“KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) percaya melalui cadangan penyelesaian segera jangka pendek dan jangka panjang, impak fenomena banjir dari segi kemusnahan harta benda mahu pun kehilangan nyawa setidak-tidaknya dapat kita minimumkan,” katanya pada sesi penerangan berkenaan perancangan jangka panjang banjir Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata antara cadangan penyelesaian jangka masa panjang adalah dengan memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim sektor air melalui pembangunan Akta Adaptasi Sektor Air dengan mengambil kira keperluan peningkatan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai negara.

Di bawah akta ini, KASA akan mencadangkan penubuhan sebuah tabung khas atau kumpulan wang amanah untuk peningkatan kapasiti adaptif sektor air dan kawasan pesisir melalui pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur yang mengambil kira faktor perubahan iklim.

Cadangan langkah lain adalah dengan membangunkan Pusat Adaptasi Kebangsaan bagi menyelaras dasar dan pelaksanaan adaptasi perubahan iklim, integrasi pengurangan risiko bencana dan pencegahan kehilangan dan kerosakan akibat kesan perubahan iklim yang melibatkan sektor-sektor mudah terancam.

“Langkah penyelesaian jangka panjang lain ialah dengan meningkatkan kapasiti takungan air banjir melalui pelaksanaan projek takungan air pinggiran sungai (TAPS) dan empangan bagi tujuan tebatan banjir dan sumber air.

“Selain itu penggunaan pendekatan ‘nature-based solution’ (penyelesaian berasaskan semula jadi) seperti pembinaan denai sungai sebagai platform penglibatan masyarakat dalam aktiviti perlindungan, pembersihan dan pemuliharaan sungai,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru