Thursday, May 19, 2022

Kerajaan Sarawak komited sediakan bekalan air bersih dan elektrik

Secara Rawak

KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi sedang berusaha menyambungkan lingkaran sistem grid air zon selatan, tengah dan utara supaya kawasan tertentu di negeri ini dapat dicapai menjelang tahun 2024 dan 2025.

Menteri Muda Utiliti, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, bagaimanapun terdapat beberapa kawasan tidak dapat dibekalkan dengan air melalui sistem tersebut kerana terlalu jauh di pedalaman.

“Oleh itu, kita telah mewujudkan satu projek khas untuk kawasan yang berada di kawasan pedalaman iaitu Pelaksanaan Sistem Grid Bekalan Air dan Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) serta Projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

“Agak sukar untuk pihak kementerian memasang sistem paip di kawasan tersebut kerana ia menelan kos yang mahal, di samping bilangan penduduknya yang sedikit,” katanya selepas Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Kawasan Dun N4 Pantai Damai, di sini, semalam.

Tambahnya, kerajaan akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi memastikan projek SAWAS dan SARES dapat dijalankan serentak bagi memudahkan urusan harian masyarakat tempatan.

Pada program tersebut, Rahman yang juga Adun Pantai Damai menyerahkan bantuan insentif pendidikan kepada 64 orang pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di IPT awam dan swasta.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru