Friday, August 19, 2022

RM125,000 untuk bersihkan sampah dari pembuangan sisa secara haram

Secara Rawak

KUCHING: RM125,000 telah dibelanjakan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) untuk membersihkan pembuangan sisa secara haram oleh rakyat di kawasannya pada tahun 2021.

Menurut Pengerusinya, Lo Khere Chiang, wang yang digunakan untuk melakukan pembersihan pembuangan sisa haram itu adalah wang dari mereka yang membayar cukai.

“Sekiranya wang ini tidak digunakan untuk membersihkan pembuangan sisa haram ini, ianya boleh digunakan untuk menaik taraf infrastruktur lain seperti taman. Dengan RM125,000 itu kita boleh menaik taraf banyak taman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kawasan pembuangan sisa secara haram di Batu 6, hari ini.

Justeru, beliau menyeru kepada rakyat bukan sahaja rakyat di kawasan MPP, tetapi di seluruh Sarawak untuk mempunyai kesedaran sivik dalam isu pembuangan sisa secara haram ini.

Ujar Khere Chiang, adalah menyedihkan untuk mengatakan bahawa rakyat di negeri ini masih belum belajar untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

“Amat menyedihkan untuk mengatakan ini tetapi ia adalah fakta yang perlu kita hadapi hari ini,” kata Adun Batu Kitang itu.

Beliau menjelaskan, isu pembuangan sisa secara haram ini tidak akan selesai sekiranya tiada kerjasama daripada rakyat untuk mengawal masalah ini.

“Walaupun terdapat undang-undang, ia tidak akan menyelesaikan masalah kerana mereka hanya akan membayar denda dan mereka tidak ada hati untuk menghentikan lambakan pembuangan sisa secara haram ini.

“Kalau kita nak pergi cari orang yang bersalah, nak tangkap, saman, ianya bukan tugas mudah kerana jumlah pegawai polis dan kakitangan MPP yang tidak mencukupi,” tambahnya.

Jelasnya, meskipun pembuangan sisa secara haram ini dihentikan di satu tempat, pihak tidak bertanggungjawab ini justeru akan mencari tempat baharu untuk dijadikan kawasan pembuangan sisa ini.

Katanya, antara kawasan di bawah bidang kuasa MPP yang sering dijadikan tempat pembuangan sisa secara haram ini ialah Jalan Kangkok, Batu Kawa, Kuching City Mall, Jalan Arang 15C1, Jalan Ensing Timur dan Jalan Khung Phin Ulu.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat untuk memaklumkan kepadanya sekiranya terlihat aktiviti pembuangan sisa secara haram ini.

“Jadi sekiranya terlihat mana-mana individu melakukan aktiviti ini, anda boleh ‘zoom’ kenderaannya, nombor plat kenderaan yang membuang sampah dan hantar kepada saya, saya akan muat naik di Facebook,” ujar Khere Chiang.

Beliau percaya, dengan cara seperti ini, semua masyarakat dapat membantu memantau aktiviti pembuangan sisa secara haram ini selain menggalakkan orang ramai untuk meningkatkan kesedaran mereka dalam memastikan persekitaran bersih.

“Saya percaya dengan berbuat demikian kita akan dapat membendung pembuangan haram ini dengan berkesan,” jelasnya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru