Sunday, July 3, 2022

Rentas negeri Sia Sitok Sarawak Plus

Secara Rawak

KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) melancarkan kempen perjalanan antara negeri Sia Sitok Sarawak Plus dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Tempoh tempahan untuk kempen tersebut bermula dari 19 Januari hingga 28 Februari 2022, manakala tempoh perjalanan dari 19 Januari hingga 30 April 2022. Ketua Pegawai Eksekutifnya Sharzede Datuk Salleh Askor berkata, inisiatif tersebut memberi peluang kepada pengembara melawat Sarawak melalui pintu masuk pelancongan utamanya iaitu Kuching, Sibu dan Miri dengan Malaysia Airlines (MAS) sebagai syarikat penerbangan rasmi.

“Pelanggan juga boleh menikmati pakej hotel dan penerbangan yang menarik melalui MHholidays, iaitu cabang operasi pelancongan MAS dengan elaun bagasi sebanyak 40 kg, makanan serta pemilihan tempat duduk percuma.

“Promosi ini boleh ditempah di www.holidays.malaysiaairlines.com Selain itu, pelanggan boleh menempah pakej pelancongan eksklusif di Journify daripada serendah RM95. “Dalam masa sama boleh memilih senarai hotel yang mengambil bahagian termasuk New World Suites di Bintulu, The Waterfront Hotel di Kuching, Grand Palace Hotel di Miri, RH Hotel di Sibu, sebagai destinasi penginapan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian (MoU) antara STB dan MAS di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis turut disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Tambahnya, melalui kempen perjalanan tersebut juga pelanggan akan mendapat akses kepada 57 pakej yang menarik ke Sarawak. “Sarawak diberkati keajaiban menarik termasuk dari segi budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan.

“Justeru kami berharap ia dapat menarik pelancong tempatan untuk merasai keramahan negeri ini melalui kempen Sia Sitok Sarawak Plus dan menjadi duta kemudian berkongsi pengalaman dengan rakan dan keluarga,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat boleh melayari malaysiaairlines.com atau muat turun Aplikasi Malaysia Airlines untuk mendapatkan maklumat terkini dan promosi eksklusif Sia Sitok Sarawak Plus yang menarik.

Turut hadir Pengerusi STB Dennis Ngau, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee, Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan MAS Berhad Lau Yin May dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan Malaysia Kapten Izham Ismail.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru