Monday, May 16, 2022

Suara belia tentu hala tuju S’wak

Secara Rawak

KUCHING: Suara dan aspirasi generasi muda perlu didengari kerana masa hadapan Sarawak bergantung kepada mereka.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bak kata orang jika ingin melihat negeri Sarawak maju pada masa hadapan, perlu melihat bagaimana anak muda hari ini.

Menurutnya, jika belia hari ini baik maka Sarawak juga akan mempunyai masa hadapan yang cerah.  “Jadi, kalau anda melihat pembangunan yang dilaksanakan hari ini sehingga 2030, sebenarnya peranan ini akan dimainkan oleh orang muda ketika ini.

“Apa yang diusahakan sekarang ini untuk belia, jadi belia mesti bersedia,” katanya ketika berucap menerusi rakaman video yang disiarkan pada majlis perasmian Projek Suara, di Hotel Pullman Kuching, pada Sabtu.

Tambahnya, belia juga mesti mempunyai kapasiti pendidikan setanding era baharu dan disebabkan itu juga beliau melaksanakan ekonomi digital di Sarawak.  “Ini cara baharu kita menguruskan masyarakat dan kita harus menggunakan gajet moden untuk membangunkan negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata, peluang sangat banyak sama ada masyarakat dilatih dan dilengkapi dengan pengetahuan terkini untuk mengejar apa yang mereka inginkan.

“Oleh itu, melalui Projek Suara Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS), kita dapat mendengar suara belia dan platform ini menjadi input kepada penggubal dasar untuk memastikan apa-apa sahaja yang kita lakukan selaras aspirasi golongan muda.

“Bagaimanapun, penting sekali kita mesti bekerjasama,” tegasnya  Sehubungan itu Abang Johari berkata, sebagai Ketua Menteri, suatu hari nanti beliau perlu menyerahkan tugasnya kepada generasi muda.

“Tetapi anda mesti bersedia, terlatih, dengan pandangan yang seimbang, dan boleh menjaga semua orang tanpa mengira bangsa dan agama.  “Saya yakin belia boleh melakukannya,” tegasnya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru