Monday, May 16, 2022

Rumah rosak dibaiki segera

Secara Rawak

BAU: Sebanyak enam rumah terjejas teruk manakala 10 lagi mengalami kerosakan kecil akibat ribut yang melanda di Kampung Opar pada 4 Januari lalu, kata Adun Opar, Billy Sujang.

Menurutnya, Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Pusat Khidmat Opar telah mengeluarkan sejumlah RM141 ribu bagi membantu mangsa untuk membaik pulih keadaan rumah yang terjejas akibat kejadian tersebut.

“Namun, jumlah bantuan yang dikeluarkan oleh PPRMS Pusat Khidmat Opar tidak dapat menanggung sepenuhnya kos kerosakan yang perlu ditanggung iaitu sebanyak RM289 ribu.

“Justeru, saya sendiri telah berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk membuat permohonan bantuan diagihkan kepada mangsa,” katanya kepada sidang media selepas membuat lawatan Pemeriksaan Rumah Mangsa Ribut Monsun Timur Laut di Balai Raya Kampung Opar, pada Sabtu.

Jelasnya, Uggah bersetuju dan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM148,000 melalui JPBN untuk menampung kos lebihan bagi kerja pembaikan tempat kediaman bagi mangsa yang terlibat.

Ujarnya, PPRMS Pusat Khidmat Opar hanya menampung maksimum RM15,000 untuk sebuah rumah yang terkesan. Bagi rumah yang melebihi jumlah tersebut, peruntukan dari pihak SDMC akan digunakan untuk menampung kos yang dikenakan.

Tambahnya, kos untuk membaiki enam rumah yang mengalami kerosakan teruk sahaja menelan kos sebanyak RM238,000 manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan kecil dengan perbelanjaan yang rendah. Pada masa sama, Bantuan Wang Ihsan (BWI) turut diberikan kepada mangsa oleh pihak JPBN  berjumlah RM16,000 dan akan diagihkan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terkesan. “Selain itu, saya juga telah menyalurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada mangsa yang terkesan akibat ribut yang melanda pada hari kejadian untuk kegunaan segera. “Hari ini, saya membuat lawatan semula ke tempat kejadian selepas 10 hari untuk melihat progres pembaikan yang dijalankan di sini bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya. Mengulas lanjut, dari kerja pemantauan yang dibuat, rumah yang mengalami kerosakan kecil kebanyakkannya sudah siap dibaiki kecuali dua buah lagi yang sedang dalam proses pembaikan. Beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk membantu mangsa yang ditimpa masalah dan menggalakkan orang ramai supaya saling menolong sekiranya perkara seperti ini berlaku lagi, kelak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru