Saturday, May 21, 2022

PM beri komitmen selesaikan masalah Rohana yang tanpa IC

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberikan komitmen untuk membantu Rohana Abdullah yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika di sini, 22 tahun lepas selepas ibunya pulang ke Indonesia.

Perkara itu dinyatakan Ismail menerusi satu video yang dikongsi di laman sosial Setiausaha Akhbarnya Asyraf Afnan Ahmad Murtadza.

Menerusi perkongsian itu, perdana menteri yang dilihat berada dalam kenderaan telah menghubungi sendiri Rohana bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kesulitan yang dihadapi gadis berkenaan.

Ismail berkata beliau mengetahui mengenai kesulitan yang dialami Rohana selepas membaca mengenainya di akhbar.

Perdana Menteri berkata pihaknya akan menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara bagi membantu urusan dokumentasi Rohana bagi membolehkan dokumen identiti diberikan kepadanya.

“Kalau ada apa-apa (perkembangan) nanti, pegawai saya akan hubungi awak,” kata Perdana Menteri menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 5 saat itu seperti dilapor Bernama.

Rohana juga didengar mengucapkan terima kasih dan berharap perdana menteri dapat membantunya.

Media sebelum ini melaporkan Rohana, 22, ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia dan dijaga selama hampir 20 tahun oleh seorang wanita, Chee Hoi Lan, 83, yang merupakan guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pernah mengalami kebimbangan (anxiety) akibat daripada masalah yang dihadapinya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru