Tuesday, June 28, 2022

Lelaki ini tak serik-serik samun pembantu rumah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Memiliki 16 rekod jenayah lampau dan pernah beberapa kali ditahan seolah-olah tidak memberi pengajaran kepada seorang lelaki apabila ditangkap kerana menyamun seorang pembantu rumah di Taman Sri Manja, Petaling Jaya, semalam.

Suspek warga tempatan berusia 32 tahun itu turut mencederakan pergelangan tangan kiri wanita berusia 50 tahun tersebut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pada 12.30 tengah hari itu, suspek mengacukan pisau terhadap mangsa tetapi tidak sempat mengambil apa-apa barangan kerana diperhatikan oleh orang awam di tempat kejadian.

“Ketika ditahan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan dua unit kamera litar tertutup,” katanya seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata suspek direman enam hari mulai semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

Fakhrudin berkata, dengan penahanan suspek yang didapati positif dadah, pihaknya percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun di sekitar daerah Petaling Jaya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru