Saturday, December 3, 2022

Tiada kaitan dengan rundingan damai di Malaysia

Secara Rawak

PHUKET: Thailand menafikan dakwaan bahawa tiga warganya yang disyaki sebagai pemberontak yang diserahkan oleh kerajaan Malaysia ada kaitan dengan dialog damai yang diadakan di Kuala Lumpur awal minggu ini.

Media Thailand pada Sabtu melaporkan penyerahan ketiga-tiga mereka berlaku pada Rabu (12 Jan), hari kedua rundingan dialog damai berkenaan. Ketiga-tiga mereka yang mempunyai rekod jenayah itu ditahan berhampiran Durian Burung, di negeri Kedah bulan lalu.

Ketua perunding rundingan damai selatan Thailand Jeneral Wanlop Rugsanaoh berkata penyerahan itu adalah hasil kerjasama dalam ekstradisi antara kedua-dua negara, dan tiada kaitan dengan dialog damai yang diadakan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar, semalam seperti dipetik Bernama.

Ketiga-tiga suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah dan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan di selatan berada dalam senarai orang dikehendaki di Thailand.

Pada 11 dan 12 Jan, rundingan damai secara bersemuka selatan Thailand yang tertangguh selama hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19, disambung buat kali pertama di Kuala Lumpur, Malaysia.

Wanlop dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang diketuai oleh Anas Abdulrahman, hadir ke rundingan dua hari itu. Rundingan itu dibantu oleh bekas ketua polis negara Rahim Mohd Noor sebagai pemudah cara yang mewakili kerajaan Malaysia.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru