Sunday, May 29, 2022

Tahun derita, tahun bahagia

Secara Rawak

Tahun 2021 sudah berlalu dan menjadi sejarah. Kita tidak lagi dapat mendakap dan mengubahnya, kerana kejadian dan peristiwa berkaitan sudah berlalu. Mungkin sebahagiannya akan kekal dalam memori manakala ada yang mungkin bertekad mahu memadamkannya daripada ingatan.

Bukan semua mahu diingati, kerana ada peristiwa dalam kehidupan yang mahu dilupakan meskipun ada ketikanya sukar dikikiskan. Sekali-sekala ia akan terkilas di ingatan dan fikiran, terutama peristiwa yang memberi kesan dalam kehidupan.

Adakah tahun 2021 sesuatu yang membahagiakan dan wajar diingati? Kita mengharapkan tahun 2021 lebih baik daripada 2020 ketika kita mula dilanda Covid-19. Ternyata kemudiannya, ancaman Covid-19 tidak berakhir. Begitu banyak yang terkesan dari segi pekerjaan dan kewangan. Begitu banyak yang menderita dan merana, tertekan kewangan, pemikiran dan emosi.

Bagi sebahagian kita, tahun 2021, tahun yang buruk dan membawa derita. Namun bagi yang lain tahun yang membawa banyak kejayaan dan kemenangan. Maksudnya, tahun 2021 bukan segalanya buruk. Pasti ada sesuatu yang menggembirakan dan wajar diingati tentang tahun yang baru berlalu itu.

Ya, 2021 sudah pun berlalu. Kini kita berada di pertengahan bulan pertama tahun 2022. Tahun 2022 baru bermula. Bagaimanakah permulaan tahun baharu itu? Kita semua tentu mengharapkan agar 2022 adalah berbeza, dan lebih baik dari 2021.

Kita mahu tahun 2022, membawa lebih banyak berita gembira dan kejayaan. Sudah dua tahun kita dibelenggu jangkitan Covid-19. Dunia bagai lumpuh dan tidak bergerak. Banyak sektor, termasuk pelancongan terpukul teruk. Mereka yang biasa melancong ke luar negara, tidak dapat melakukannya untuk dua tahun.

Adakah sinar kebaikan dan harapan untuk tahun 2022? Manusia kadang-kadang mempunyai semangat untuk terus hidup kerana adanya harapan. Harapanlah yang memberi kita kekuatan dan tenaga untuk terus berjuang dalam zaman kelam dan tiada harapan.

Harapan membolehkan melihat segaris sinar meskipun kita diselubungi kekelaman dan kegelapan. Ketika kita melihat dan memilih harapan, kita sebenarnya memilih untuk melihat seribu kemungkinan.

Anda ialah apa-apa yang anda harapkan. Sebab, dengan adanya harapan yang menyala, segala cabaran dan ujian akan dapat diharungi dan ditangani. Ya, belajar dan ambil iktibar daripada semalam dan tahun lepas, hiduplah dengan bertenaga dan ceria untuk hari ini bagi menghadapi masa depan dengan penuh harapan dan keghairahan.

Benar, harapan bergantung kepada impian, angan-angan, azam, imaginasi, bayangan keindahan, dan keberanian. Hadapilah hari ini dan hari esok, serta tahun ini dan tahun-tahun mendatang dengan penuh keazaman dan harapan.

Antara sebab kesedihan, kemurungan dan kegagalan ialah, manusia melihat masa lepas sebagai kegagalan, maka mereka akan terus gagal. Masa depan bermula bukannya esok hari atau tahun depan, tetapi hari ini dan tahun ini. Kitalah yang menentukan hala tuju dan destini atau destinasi kita, bukan ramalan bintang.

Kawal dan tentukan destini anda, dan bukannya menyerahkannya kepada orang lain. Tentukan masa depan anda mulai sekarang. Memang, hari esok dan masa depan bermula dengan saat ini, hari ini dan tahun ini.

Fikirkannya dan tentukan matlamat dan sasaran anda. Bila dan bagaimana anda sampai di sana, andalah yang menentukannya. Hakikatnya, kehidupan ialah pergelutan antara masa silam, masa kini dan masa depan.

Selagi anda hidup, selagi itu ada harapan untuk mengukir kejayaan dan keluar daripada belenggu masalah. Akan ada sinar di hujung terowong bagi mereka yang bersikap optimistik dan tidak sekadar menyerah kepada nasib.

Ingat, jika anda sudah hilang harapan, anda sebenarnya sudah pun mati. Anda sendiri yang membunuh diri anda dan masa depan anda. Sesungguhnya, harapan dan keazaman untuk menjadi lebih baik ialah kunci kejayaan.

Manfaatkanlah bakat, ilmu, kemahiran, pengalaman dan masa dengan sebaik mungkin demi kejayaan dan masa depan. Masa depan anda, anda sendirilah yang menentukannya.

Di mana anda berada sepuluh atau 20, malah 30 tahun lagi bergantung pada apa-apa yang anda lakukan hari ini dan tahun ini.

Manusia, kita semua, tentu tidak selamanya dapat hidup bermakna jika kita dibelenggu kemurungan dan sikap pesimistik. Sikap pesimistik dan tidak berdaya membunuh harapan, impian dan keghairahan untuk hidup.

Memang, kita perlu bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan keburukan .Yang pasti gantungkan masa depan dengan penuh harapan. Bangkitlah dari tidur setiap pagi dengan bunga-bunga harapan yang berkuntum dan mewangi.

Jadi, jangan mudah menyerah kalah. Terus berjuang untuk hidup dan kehidupan. Kita harap tahun ini tahun yang membawa kejayaan, kehebatan dan kegemilangan untuk rakyat dan negara ini.

Tahun yang penuh dengan sinaran dan bunga harapan. Ya, annus mirabilis bukannya annus horribilis seperti dua tahun sebelumnya.

Kita mahu meninggalkan segala penderitaan, kedukaan dan kesengsaraan di belakang, Kita mahu menuju tahun penuh harapan, tahun 2022 penuh impian dan kegemilangan.

Kita mahu menyaksikan keadaan politik yang terelak daripada krisis dan ketidakstabilan. Sebaliknya, kita mahu keadaan politik yang penuh dengan kepastian dan kestabilan, demi kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan.

Kita juga mahu agar pemimpin politik kita lebih fokus dan prihatin terhadap nasib yang menimpa rakyat.

Justeru, kita mahu menyaksikan lahirnya pemimpin yang lebih karismatik, berfikiran strategik, pintar dan memiliki kearifan dalam menangani sebarang isu dan masalah yang membelenggu negara.

Kita mahu keadaan ekonomi yang lebih baik, tumbuh dan berkembang subur agar mereka yang kehilangan pekerjaan atau menganggur dapat kembali mencari rezeki. Agar mereka dapat menyara diri dan keluarga mereka. Kita mahu menyaksikan keadaan hubungan sosial yang lebih aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Kita mahu mereka lebih menyayangi, saling menghormati dan memahami. Kita juga mahu agar pelajar kita dapat kembali ke sekolah dan universiti agar mereka dapat bersemuka dan berdialog dengan guru dan pensyarah mereka.

Pendek kata, kita mendambakan kehidupan yang lebih baik, lebih bahagia dan lebih bermakna pada tahun ini.

Jadi, mulai sekarang kita perlu berubah ke arah kebaikan. Kita perlu merebut segala peluang yang terbentang. Kita belum lagi terlambat. Kita hanya akan terlewat jika kita terus tidur dan tidak berusaha. Justeru, jadikan setiap hari dengan mencipta mahakarya dalam hidup anda.

Teruslah bermimpi dan menyemarakkan impian, kerana setiap kali anda menyimpan impian dan berusaha memenuhinya, anda sebenarnya berupaya menembusi sempadan kemungkinan.
M

udah-mudahan tahun 2022 membawa dan menjanjikan sinar kebaikan untuk kita semua meletakkan harapan.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru