Sunday, May 22, 2022

SUPP latih pemimpin pelapis

Secara Rawak

KUCHING: Penubuhan sayap baharu belia bagi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) merupakan suatu langkah yang tepat dan bersesuaian dasar inklusif parti berkenaan.

Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, hasrat SUPP untuk meremajakan parti mereka merupakan salah satu agenda utama pengerusinya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian sejak beliau mengambil alih pucuk kepimpinan SUPP.

“Justeru, ini merupakan kesinambangan kepada inisiatif lalu yang antara lain bertujuan melatih barisan pemimpin pelapis pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun katanya, terdapat juga cabaran mencari mekanisme yang sesuai dan mencari siapa yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya. “Mereka (SUPP) perlu mengkaji dan memahami siapakah golongan yang berumur di antara 18-20 tahun tersebut.

“Malah, SUPP perlu memastikan apa yang mereka mahu lakukan adalah mampan,” katanya lagi. Jelas Lee, ramai masyarakat sedia maklum bahawa golongan tersebut sebahagian besarnya merupakan pelajar di sekolah menengah atas mahupun kolej atau universiti.

“Oleh itu, bagaimana aspekaspek sebegini diambil kira dalam strategi mereka untuk terlibat dengan mereka.

“Tidak lupa bagaimana pula dengan golongan yang tercicir persekolahan yang memilih untuk bekerja selepas Tingkatan 5 (SPM), sudah pastinya memerlukan pendekatan yang berlainan,” jelasnya.

Terdahulu, Setiausaha Agung parti Datuk Sebastian Ting Chiew Yew merancang menubuhkan Sayap Belia baharu untuk belia berumur 18 hingga 28 tahun bagi memberi mereka peluang untuk terlibat dalam arena politik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru