Sunday, May 22, 2022

Rumah mangsa ribut di Opar dibaik pulih

Secara Rawak

BAU: Pusat Khidmat Opar menyalurkan peruntukan sejumlah RM141,000 bagi membaik pulih 16 rumah penduduk yang terjejas berikutan ribut di Kampung Opar di sini, 4 Januari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, jumlah itu menerusi dana Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar.

Katanya, ia akan digunakan bagi membantu baik pulih rumah mangsa maksimum sehingga RM15,000 bagi sebuah rumah berdasarkan anggaran kos yang digariskan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bau.

“Bagi kos baik pulih yang memerlukan peruntukan melebihi RM15,000 terutama enam rumah yang terjejas teruk akan dibiayai oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan pemeriksaan rumah mangsa ribut di samping menyerahkan bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada penerima di sini.

Menurut Billy, jumlah keseluruhan sebanyak RM164,050 diperuntukkan JPBN kepada mangsa ribut dengan sejumlah RM148,050 disalurkan bagi membaik pulih 16 rumah keluarga yang terjejas.

Tambahnya, sebanyak RM16,000 dana diperuntukkan menerusi NADMA BWI untuk 16 Ketua Isi Rumah (KIR) keluarga terjejas manakala sebanyak RM1,000 diberikan kepada seorang KIR menerusi dana Pusat Khidmat DUN Opar.

Billy menjelaskan, jumlah sebenar yang terjejas teruk ialah 17 rumah.

“Namun penghuni di sebuah rumah yang kita terlepas pandang itu telah melakukan kerja baik pulih awal pagi selepas kejadian (5 Januari), setelah itu baharu dia maklumkan kepada kita.

“Rumah itu agak jauh daripada yang lain. Namun, kita akan membantu mangsa menggunakan dana Pusat Khidmat,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru