Sunday, July 3, 2022

Dadah: Buruh warga Indonesia ditahan di Mukah

Secara Rawak

MUKAH: Seorang buruh lelaki warga asing ditahan pihak polis selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Jalan Mukah Selangau pada petang Jumaat.

Suspek warganegara Indonesia berusia 30 tahun tersebut turut dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, terlibat dengan penagihan dadah sejak pertengahan bulan Ogos tahun 2020 hingga sekarang.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias serbuan telah dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah terhadap suspek di tepi Jalan Simpang Bukut, Jalan Mukah-Selangau pada jam 5 petang.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap tubuh suspek kita telah merampas satu beg silang warna hitam yang di silang di badannya dan menjumpai satu paket plastik besar lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 41.96 gram bernilai RM4,196.

“Suspek kemudiannya ditahan dibawa ke pejabat BSJND IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya bagaimanapun suspek tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau dan hasil ujian air kencing saringan awal polis terhadap suspek didapati Positif dadah jenis Amphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau didenda tidak melebihi RM 5000 serta pengawasan polis tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Malah kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mukah kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 boleh di hukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama iaitu memperuntukan hukuman denda tidak lebih daripada RM 10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru