Sunday, July 3, 2022

Ambil serius masalah kesesakan di Kota Samarahan

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Adun Stakan Datuk Hamzah Brahim dengan serius telah mendesak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mencari jalan sekali gus mengambil tindakan bagi mengurangkan masalah kesesakan jalan raya melibatkan kawasan Kota Samarahan.

Menurutnya, perkara tersebut merupakan satu topik hangat sejak kebelakangan ini dan beliau berharap agar masyarakat memahami bahawa apabila terdapat pembangunan khususnya melibatkan pembinaan jalan baharu aspek kesesakan memang tidak dapat dielakkan kerana ia adalah proses.

“Bagaimanapun, kita telah berbincang dengan pihak yang terlibat termasuk Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), JKR, kontraktor dan agensi lain – saya telah berjumpa dan berbincang dengan mereka untuk berkongsikan pandangan dan cadangan kita.

“Malahan saya sendiri begitu serius dan mendesak supaya pihak berkenaan mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan simbolik penyerahan kunci sempena Majlis Perasmian Serah Kunci Medan Selera MPKS Uni Garden, di sini malam tadi (15 Januari).

Sehubungan itu, tambahnya isu kesesakan jalan raya itu tidak boleh “dihilangkan” tetapi mereka akan berusaha untuk mengurangkan masalah tersebut khususnya melibatkan Lebuh Raya Kuching-Samarahan dan Jalan Dato Mohd Musa.

“Dua jalan ini sememangnya menjadi topik hangat dalam kalangan pengguna sejak kebelakangan ini, dan kita akui perkara tersebut,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru