Saturday, January 22, 2022

Songket Rajang bernilai RM15,000 sehelai

Secara Rawak

HARGANYA mampu mencecah sekitar RM1,500 hingga RM15,000 sehelai.

Begitulah tinggi nilai kemahiran menenun songket yang diwarisi sekumpulan wanita di perkampungan Melanau, Kampung Rajang.

Walaupun Terengganu terkenal dengan hasil tenunan songket berkualiti tinggi di negara ini, namun Songket Rajang tidak kurang hebatnya.

Keunikannya apabila kedua-dua bahagian dalam dan luar songket ini boleh diguna dan ini memberi kelainan tersendiri berbanding songket lain.

Songket Rajang dihasilkan dengan begitu teliti sehingga tiada benang yang mudah tercarik dan semua tenunannya dibuat kemas dan rapi

Malah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainan Abidin; bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah membuat tempahan dan membeli hasil tekstil yang indah tersebut.

Berkunjung ke Kampung Rajang, kira-kira sejam setengah perjalanan dari Sibu, penulis bertemu empat mata dengan lapan penenun wanita dari Kumpulan Songket Tenunan Rajang yang masih aktif menghasilkan tempahan songket berkualiti tinggi.

Menurut pengerusinya Saanah Suhaili, 65, menyedari nilai seni warisan Sarawak itu begitu mahal serta permintaan yang tinggi, mereka menubuhkan pusat songket tersebut pada 24 April 1991.

“Pada mulanya, kita beroperasi di dua buah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Abang Galau hingga 1994 dan dibiayai oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) ketika itu bagi meneruskan legasi songket ini daripada terus hilang ditelan zaman,” katanya sempena program kunjungan media anjuran Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

Kemudian katanya, mereka berpindah ke sebuah bengkel yang dibina khas untuk penenun songket di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan berada di sana selama kira-kira 11 tahun.

“Pada 1999, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika itu menteri perumahan dan pelancongan datang melawat ke Kampung Rajang dan pada sidang media beliau menyatakan songket kita boleh pergi lebih jauh.

“Oleh itu, Abang Johari sendiri telah mencadangkan agar kami berpindah ke tempat baharu dan tidak lama selepas itu SEDC telah menyediakan tempat ini kami mula beroperasi di sini sejak awal 2005.

Menurutnya, teknik tenunan songket Rajang berbeza dengan buatan Terengganu kerana mereka menggunakan formula ‘sifir’ dalam mereka corak tenunan.

“Memang pada mulanya seni ini diwarisi turun temurun dan kemudian ada guru yang mengajar kami asas-asas tenunan.

Bagaimanapun, kami sendiri mencipta kaedah sifir yang kemudian menjadi keunikan utama songket di sini,” ujarnya sambil memberitahu ia turut diikuti penenun dari bahagian lain di negeri ini. Untuk menguasai kemahiran serta teknik tenunan, katanya ia memerlukan minat yang mendalam.

Jika seseorang itu mempunyai minat, ia boleh dikuasai dalam hanya beberapa bulan.

“Perlu diingat bahawa proses menenun songket Rajang dilakukan secara halus dan menggunakan kaedah benang tersembunyi yang membolehkan ia dipakai pada kedua-dua belah. Ini bermakna tenunan corak adalah sama pada kedua-dua belah.

“Untuk menghasilkannya, ia mengambil masa kira-kira sebulan bergantung kepada jenis motif, saiz dan benang. Maka semakin banyak corak dan benang emas yang digunakan, semakin mahal harganya,” katanya memberitahu mereka tidak menang tangan dalam memenuhi permintaan pelanggan.

Tambahnya yang sudah 31 tahun menenun, antara ciri istimewa lain yang terdapat pada Songket Rajang ini ialah corak dan motifnya hanya dikeluarkan berdasarkan tempahan sahaja.

“Jadi setiap pelanggan kami akan menerima corak yang terhad dan eksklusif. Mereka tidak perlu risau kerana corak songket mereka tidak akan sama dengan orang lain.

“Justeru, hasil tenunan yang memenuhi cita rasa setiap pelanggannya ini menjadikannya popular dalam kalangan penggemar songket dan pernah dijual ke luar negara, seperti di Singapura, Kora, Dubai, Australia dan New Zealand,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurutnya yang juga generasi keempat yang masih mengamalkan tenunan songket sebagai punca rezeki, beliau melahirkan kerisauan apabila generasi muda dilihat seperti tidak berminat dengan seni tenunan songket itu.

“Ada yang pernah menyertai latihan tenunan sebelum ini yang diberikan elaun RM450 oleh Kraftangan Malaysia selama enam bulan sehingga berjaya menguasai kemahiran, namun mereka tidak meneruskan kerjaya ini apabila mendapat tawaran pekerjaan lebih baik di luar.

“Kadang-kadang saya terfikir, siapa yang bakal menggantikan kami bila kami sudah tiada lagi.

Kini hanya terdapat lapan orang yang masih meneruskan kerja sebagai penenun songket di sini dan kami semua semakin berusia antara 40 hingga 70 tahun,” ujarnya.

Oleh itu, beliau berharap agar kerajaan dapat bekerjasama dengan pihaknya untuk mencari idea yang dapat menarik lebih ramai generasi muda terlibat dalam tenunan songket.

Seorang lagi penenun Jaoyah Razali, 61, turut menyuarakan pandangan yang sama dan berharap lebih ramai anak muda berminat untuk menenun.

Bagi dirinya sendiri, beliau agak sedih kerana tidak dapat menurunkan kemahirannya kerana dia belum berkahwin dan tidak mempunyai anak.

“Saya berharap seni Songket Rajang ini terus dipelihara sebagaimana saya dan rakan-rakan memeliharanya sejak 1991 untuk tatapan generasi akan datang kerana ini warisan yang melambangkan identiti masyarakat tempatan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru