Thursday, August 18, 2022

Sistem bekalan air yang mapan untuk rakyat Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi merancang mewujudkan satu entiti bekalan air bersepadu untuk Sarawak demi menjamin sistem pengurusan lebih berkesan, cekap dan kemapanan pembiayaan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, pengwujudan Lembaga Air Negeri (SWA) sebagai sebuah badan korporat akan menjamin sistem pengurusan sumber dan bekalan air lebih holistik di negeri ini.

SWA juga mampu mengawal selia bekalan air secara lebih proaktif dan bekalan air dilaksanakan untuk kemampanan alam sekitar dan selamat, katanya berucap pada bengkel kajian penubuhan satu entiti dan badan korporat bekalan air negeri di sini.

Beliau berkata, cadangan itu disebabkan bekalan air di Sarawak menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dan negeri kini mempunyai Lembaga Bekalan Air (LBA) iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management Sdn Bhd.

Sarawak harus memiliki sistem utiliti bertaraf dunia yang boleh dipercayai, ekonomik, selamat dan mapan, katanya.

“Saya berharap melalui bengkel dua hari ini, kita boleh melakukan transformasi ke atas industri bekalan air di Sarawak dan mendapat maklum balas perunding hasil daripada kajian ini bagi mencapai matlamat berkenaan,” katanya.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) beliau berkata, kementerian merancang melaksanakan Sistem Grid Bekalan Air Negeri bagi menjamin bekalan air yang mapan dan berkekalan untuk rakyat secara jangka panjang.

Sistem grid air terawat itu adalah dari selatan ke utara Sarawak dan bersambung dengan kemudahan bekalan air terawat untuk membentuk grid air berkekalan, katanya.

Projek Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) akan diteruskan dalam RMK-12 untuk menyediakan bekalan air bersih dan selamat kepada penduduk di pedalaman, katanya.

Dalam masa beberapa tahun akan datang, katanya, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi turut melaksanakan pendekatan baharu untuk memodenkan kemudahan utiliti sedia ada selari dengan agenda transformasi digital dan ini termasuk sistem pemeteran dalam sektor utiliti.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru