Thursday, August 18, 2022

Parti komponen GPS perlu sayap baharu

Secara Rawak

KUCHING: Semua parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu mengikuti amalan penubuhan sayap baharu untuk generasi Undi 18, kata penganalisis politik Dr Ammar Redza.

Malah, katanya GPS juga perlu keluar dengan rancangan untuk meletakkan calon muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Jika PRU-15 terlalu cepat, mungkin mereka boleh membuat pelan untuk sekurang-kurangnya 20 peratus calon daripada kumpulan umur 18 hingga 28 tahun pada PRU-16,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang akan turut meminda perlembagaan parti untuk mewujudkan sayap belia, dengan keahlian berumur 18 hingga 28 tahun seperti mana yang dilakukan oleh parti tunjang GPS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Selain PBB dan SUPP, parti komponen PBB ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Dr Ammar menambah dengan langkah itu, rakyat Sarawak akan mempercayai keazaman GPS untuk memperjuangkan isu berkaitan belia dan penyertaan politik.

Katanya jika merujuk kepada sejarah, terdapat ramai pemimpin semasa menyertai politik dan dipilih sebagai wakil rakyat pada usia yang sangat muda.

Jelasnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg misalnya bertanding dalam pilihan raya dan dipilih pada usia 31 tahun manakala timbalannya, Datuk Amar Douglas Unggah Embas pada usia 30 tahun.

“Saya sangat berharap mungkin pada PRU-15 akan datang, GPS boleh menampilkan beberapa calon muda.

“Mungkin Azizul Annuar Adenan (Adun Tanjung Datu) atau Dayang Noorazah Awang Sohor (Adun Lingga) boleh menjadi calon yang berdaya maju untuk kerusi parlimen.

“Jika mereka menang, GPS boleh mendorong mereka untuk menjadi calon dalam Kabinet Persekutuan,” katanya.

Dr Ammar menambah pengukuhan bahagian belia adalah penting kerana ia akan membantu kemampanan dan kestabilan situasi politik dalaman.

“Sekiranya kurang perhatian diberikan dalam bidang ini, kemungkinan berlaku vakum kuasa yang akan menjejaskan kedudukan GPS atau parti komponennya dalam politik Sarawak,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru