Tuesday, January 25, 2022

Kepimpinan Abang Jo bakal bawa Sarawak negeri maju 2030

Secara Rawak

SIBU: Kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersifat futuristik dengan memperkenalkan pendekatan ekonomi digital serta penggunaan teknologi dalam aktiviti ekonomi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, dasar yang dilaksanakan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil kira aspek

aspirasi rakyat demi kemakmuran negeri ini.

Aktiviti ekonomi seperti pertanian, penternakan, perniagaan disusuli dengan pembangunan belia merancakkan lagi sosioekonomi rakyat Sarawak, katanya.

“Kerajaan GPS juga memberi tumpuan terhadap pendidikan di bawah Kerajaan Persekutuan dengan menggunakan dana sendiri untuk membaik pulih dan membina sekolah daif demi masa depan anak-anak Sarawak,” katanya sebagai mengulas Ulang Tahun Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Kelima pada 13 Januari.

Safiee berkata, kepimpinan Abang Johari dan rakan-rakan dalam kabinet berjaya mengharungi cabaran pandemik Covid-19.

“Dalam hal ini, negeri Sarawak sentiasa ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kebajikan kepada rakyat melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS). Program kesejahteraan dan kesihatan rakyat melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak seperti program vaksinasi mendahului negeri-negeri lain.

“Semua ini berjaya direalisasikan atas kebijaksanaan Ketua Menteri memimpin Sarawak dengan menambah dana kepada negeri ini melalui pendekatan ekonomi baharu yang diperkenalkan termasuk cukai ke atas hasil minyak dan gas,” katanya.

Malah katanya, Sarawak yang diterajui Kerajaan GPS melakar sejarah apabila memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lalu.

“Saya percaya, dengan momentum kepimpinan beliau, Insya-Allah, kita akan berada di landasan betul untuk mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru