Thursday, August 18, 2022

Dana khas bantu NGO di Sibu

Secara Rawak

SIBU: Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi di sini telah menerima geran Persekutuan daripada Ahli Parlimen Bintulu yang juga Adun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing di sini.

Geran itu disampaikan oleh Ketua Pemuda Parti Progresif Demokratik (PDP) Bawang Assan Kaunselor Joshua Ting Fu Ying mewakili Tiong dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pusat Khidmat PDP Bawang Assan.

Joshua ketika ditemui berkata, jumlah geran yang disampaikan itu sebanyak RM260,000 keseluruhannya.

“Pemberian geran ini bertujuan menyediakan dana bagi membantu 11 NGO serta institusi berkenaan merancang aktiviti harian dan menambah baik infrastruktur organisasi mereka.

“Diharap dengan geran ini ia sedikit banyak dapat membawa aktiviti yang lebih baik kepada penduduk Sibu dan memacu Sibu ke arah landasan pembangunan yang lebih kondusif,” ujarnya.

Sebelas NGO termasuk institusi yang menerima geran tersebut adalah PIBG SMK Batang Igan, PIBG SK Rassau, Klinik Kesihatan Rassau, PIBG SK Nangka Tutus, Rumah Kebajikan Kanak-kanak Methodist, Sibu Chinese Chamber Of Commerce Industry, Empire Gym Sdn Bhd, Lembaga Pengurus Sekolah SMK Tung Hua, Persatuan Alumni Institut Methodist Pilley, Persatuan Automobil Kereta Sibu dan Persatuan Syarikat Pengiklanan Negeri Sarawak.

Joshua berharap agar penerima dapat menggunakan dana tersebut dengan sebaik-baiknya dengan kebanyakannya merupakan pertubuhan yang aktif dalam jangka masa panjang.

“Saya berharap mereka terus membawa lebih banyak aktiviti berkualiti tinggi ke Sibu dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.

“Kami berharap mereka dapat menggunakan kuasa persatuan untuk meningkatkan inovasi dan kemajuan dalam bidang masing-masing, bagi memacu pembangunan ekonomi Sibu, menyediakan produk dan perkhidmatan yang lebih baik supaya rakyat dapat menikmati produk yang bagus pada harga yang berpatutan,” ujarnya.

Rentetan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada penduduk Sibu atas sokongan padu mereka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri lalu dengan menggesa rakyat untuk menghubungi gabungan parti itu sekiranya mereka menghadapi sebarang isu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kami masih memerlukan sebarang respons dan maklum balas rakyat berkenaan dengan masalah yang dihadapi.

“Sekiranya anda tidak membawa isu atau melaporkan kepada kami, macam mana kami nak tahu apa masalah?

“Hanya melalui komunikasi yang baik serta respons pantas daripada rakyat akan membantu ahli politik menyelesaikan masalah,” ujar Joshua lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru