Saturday, January 22, 2022

100 individu menerima bakul makanan sempena Tahun Baharu Cina

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 100 individu menerima bakul makanan berupa barangan keperluan asas daripada pihak pengurusan Tokong Tiong Hock Kong, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Kuching dan Viva Future Sdn Bhd.

Bakul makanan tersebut diagihkan oleh Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Lintang, Sih Hua Tong kepada Pertubuhan Pemulihan dalam Komuniti (PPDK), Persatuan Orang-orang Pekak Sarawak, Pertubuhan Pengajaran Confucian Chung Li Kuching Sarawak.

Menurut Sih, program komuniti tersebut membuktikan kerjasama daripada pelbagai pihak organisasi dalam aktiviti kebajikan yang memberikan impak positif kepada ramai pihak khususnya bagi golongan memerlukan.

Katanya, ia turut menunjukkan teladan yang baik kepada generasi muda bahawa golongan masyarakat di negeri ini mempunyai nilai saling mengambil berat antara satu sama lain.

“Program ini sangat bermakna, ia membuktikan bahawa masyarakat kita mempunyai semangat mengambil berat antara satu sama lain sekali gus meringankan beban mereka,” katanya dalam program pengagihan bakul makanan di Tokong Tiong Hock Kong, di sini, pagi tadi.

Tambah Sih, beliau berharap agar lebih ramai pihak tampil memberikan sokongan terhadap aktiviti kebajikan seperti demikian.

Jelasnya, aktiviti seperti itu perlu dipromosikan dengan lebih besar untuk ditunjukkan atau sebagai teladan oleh generasi baharu anak-anak di Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru