Saturday, January 22, 2022

Mekanisme baharu sahkan nelayan

Secara Rawak

BELADIN: Agensi berkaitan memerlukan mekanisme baharu atau lebih longgar untuk mengesahkan seseorang itu benar-benar seorang nelayan, dan tidak hanya bergantung kepada pemilikan lesen semata-mata.

Adun Beting Maro Razaili Gapor memberitahu, ini agar setiap nelayan dapat menikmati bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Di kawasan saya, timbul isu nelayan tercicir daripada menikmati bantuan dengan alasan lesen vesel yang mereka miliki, sedang menunggu kelulusan (dalam proses) atau menunggu permohonan baharu.

“Atas faktor itu sahaja mereka gagal dikategorikan sebagai nelayan, sekali gus gagal mendapat bantuan.

“Justeru saya berpandangan, dalam soal ini agensi pemberi bantuan harus ada mekanisme lain memandangkan kebanyakan mereka memang nelayan sepenuh masa walaupun lesen vesel (dalam proses) menunggu kelulusan.

“Jika penilaian dibuatkan atas faktor lesen belum siap semata-mata, ini tidak adil sedangkan nelayan darat tidak memerlukan lesen untuk diberikan bantuan,” katanya semasa randau bersama-sama Jabatan Pertanian Bahagian Betong di Dewan al-Amin, kelmarin.

Sehubungan itu juga, beliau menggesa agar semua nelayan yang tercicir daripada mendapatkan bantuan dibenarkan membuat rayuan.

“Bagi nelayan yang layak, saya harap kerajaan membenarkan mereka merayu.

Saya prihatin dengan nasib nelayan tulen yang tidak mendapat apa-apa yang sewajarnya mereka dapat.

“Sebagai kerajaan yang memahami keluh resah rakyat, apa-apa jua isu yang dibangkitkan diharap dapat diselesaikan terutama melibatkan bantuan,” ujarnya.

Berkaitan Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan (BIPPN), Razaili turut menggesa Bahagian Perikanan Darat Jabatan Pertanian yang menguruskan hal tersebut agar memberikan bantuan mengikut keperluan seseorang nelayan.

“Cadangan saya, beri apa-apa yang diminta dan diperlukan oleh nelayan, kerana ada peralatan yang tidak sesuai akhirnya dijual dan merugikan,” tambahnya.

Untuk rekod, sebanyak 235 nelayan di Beting Maro telah menerima BIPPN masing-masing, manakala 90 lagi akan diagihkan dalam masa terdekat.

Sementara bagi Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) melibatkan 764 penerima.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru