Thursday, August 18, 2022

Jalan Ulu Tinjar rosak:  Langkah penyelesaian sudah dilakukan

Secara Rawak

MIRI: Beberapa bahagian Jalan Ulu Tinjar telah mengalami kerosakan susulan daripada cuaca yang tidak menentu.

Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr. Penguang Manggil berkata, beliau telah melakukan perbincangan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) berkenaan isu ini dan kerja-kerja baik pulih telah bermula beberapa hari lepas.

“Ini hanya merupakan langkah penyelesaian jangka masa pendek termasuk kerja-kerja baik pulih yang telah pun dilaksanakan sebelum ini di jalan ini,” katanya menerusi hantaran Facebook akaun rasmi milik beliau yang dimuatnaik pada Jumaat.

Datu Dr. Penguang menambah, bagi penyelesaian jangka masa panjang pula, beliau telah berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi menaiktaraf jalan berkenaan kepada jalan yang lebih selesa dan selamat mengikut standard JKR iaitu jenis R1 berturap.

“Pada 2021, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan permohonan tersebut. Walaubagaimanapun, ianya masih di peringkat penyediaan spesifikasi dan projek ini belum lagi dapat bermula,” jelasnya.

Beliau juga memberitahu, memandangkan keadaan jalan  semakin teruk, perbincangan bersama JKR telah dilakukan bagi menggunakan sedikit peruntukan dari projek yang telah diluluskan tersebut bagi membaik pulih dan menaik taraf jalan ini sebagai tambahan bagi kerja-kerja baik pulih yang sedang dilaksanakan sekarang.

“Saya memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan ini dan saya akan sentiasa memantau dengan dekat kerja-kerja baikpulih jalan ini dan seterusnya pelaksanaan Projek Naiktaraf Jalan Ulu Tinjar yang telah diluluskan tersebut.

“Saya juga berharap penduduk di Marudi amnya dan penduduk Ulu Tinjar khasnya supaya bersabar sementara menunggu agensi yang bertanggungjawab melaksanakan projek jalan tersebut, mengikut prosedur perolehan seperti yang telah ditetapkan di Arahan Perbendaharan Sarawak.

Selain daripada itu, penduduk kampung juga telah mengadakan gotong-royong untuk menutupi lubang di jalan tersebut dengan menggunakan kayu dan dengan cara demikian, jalan tersebut sudah boleh dilalui untuk kecemasan sahaja tanpa muatan.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru