Saturday, June 25, 2022

Sejumlah 3,199 kompaun langgar SOP di Kuching tahun lepas

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 3,199 kompaun dikeluarkan pasukan pemantau pematuhan Op-Covid Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,092 kompaun dikenakan terhadap individu manakala 107 kompaun terhadap premis.

“Jumlah nilai kompaun individu adalah sebanyak RM782,157 dan jumlah nilai kompaun premis sebanyak RM1.06 juta,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambahnya, kesemua individu yang dikompaun terdiri daripada seramai 2,303 lelaki dan 789 orang wanita.

Menurut Ahsmon, lima kesalahan paling kerap dilakukan ialah gagal daftar masuk oleh pemilik premis, pekerja atau pelanggan melalui aplikasi Mysejahtera atau buku.

Selain itu, pemilik premis gagal memaparkan jumlah maksimum pelanggan dibenarkan masuk dalam satu-satu masa di samping tidak menyediakan buku daftar masuk atau QR Code Mysejahtera serta tidak menggunakan pelitup muka.

Beliau dalam pada itu menegaskan agar setiap Prosedur Operasi Standard (SOP), garis panduan mesti dipatuhi sebaik-baiknya.

Ujarnya, pihak polis tidak akan berkompromi kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru