Sunday, June 26, 2022

Rasuah: Beri ganjaran besar kepada pemberi maklumat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ganjaran lebih tinggi bagi menggalakkan pemberi maklumat atau whistleblowers untuk tampil melaporkan salah laku boleh berperanan kritikal untuk menghentikan amalan rasuah dan membanteras ketirisan ekonomi berbilion Ringgit disebabkan perdagangan haram, kata Dato’ Seri Akhbar Satar, Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah (ACFE) cawangan Malaysia, dalam kenyataan hari ini.

Ulasan Dato’ Seri Akhbar Satar ini adalah susulan kontroversi terbaharu mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), termasuk pengumuman Kerajaan bahawa ia akan menyemak semula akta tersebut dan bakal dibentangkan kepada Kabinet.

Dato’ Seri Akhbar Satar, yang merupakan pemegang kerusi profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi, HELP University dan bekas Presiden Transparency International Malaysia, berkata, “Saya difahamkan bahawa Kerajaan Malaysia menerusia agensi penguatkuasaan berkaitan telah meningkatkan pakej ganjaran kewangan untuk pemberi maklumat yang telah melaporkan salah laku yang berjaya menghasilkan tindakan penguatkuasaan.’’

“Jika ini betul, ia adalah langkah yang tepat di dalam usaha membanteras rasuah dan mengekang dagangan haram seperti pasaran gelap rokok seludup, yang telah mengakibatkan Kerajaan kehilangan kira-kira RM5 bilion daripada segi hasil cukai yang tidak dipungut setiap tahun,’’ kata beliau.

Menurut Dato’ Seri Akhbar, sindiket jenayah telah menyelinap ke dalam agensi penguatkuasaan undang-undang dari segi yang menyebabkan mereka yang berperanan menghentikan dagangan haram telah membutakan mata terhadap pemasalahan itu. ‘’Walaubagaimanapun masih terdapat ramai pegawai penguatkuasaan yang memiliki integriti, maruah dan rasa tanggungjawab. Mereka inilah yang menjadi pemberi maklumat mengenai rakan sekerja yang melanggar undang-undang bagi melindungi institusi penguatkuasaan mereka.’’

“Malangnya, pemberi maklumat berdepan dengan tindak balas yang serius, termasuk kemungkinan kehilangan mata pencarian. Di sinilah sistem ganjaran lumayan perlu ada. Malah, ganjaran lebih besar juga akan mendorong penjenayah itu sendiri untuk menjadi pemberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan,’’ ujar beliau.

Dato’ Seri Ahkbar juga menegaskan bahawa ganjaran tinggi mestilah juga disertakan dengan sistem perlindungan saksi yang terjamin bagi menjaga keselematan pemberi maklumat. ‘’Tiada maknanya ganjaran tinggi tetapi pemberi maklumat itu tidak hidup lama untuk menggunakannya,’’ ujar beliau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru