Saturday, January 22, 2022

Bersatu hati, tabah, sabar hadapi waktu sukar, kata Zahid

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua rakyat Malaysia bersama-sama bersatu hati, tabah dan bersabar mendepani waktu-waktu sukar.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, terus berpadu dan bermuafakat dengan penuh pengharapan agar kemakmuran serta kesejahteraan akan kembali seperti yang semua rindui.

“Banyak kekalutan sedang melanda negara daripada pandemik, bencana alam, kenaikan harga barangan sehingga kepada pertikaian antara agensi kerajaan,” kata  Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

“Keadaan ini sememangnya cukup merimaskan rakyat tatkala mereka masih berhempas pulas untuk bangkit daripada dampak buruk wabak COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya lagi, dugaan hidup sememangnya memeritkan, tetapi percaya bahawa setiap kesulitan pasti ada pengakhiran yang baik.

“Hati yang cekal mampu menangani segala kesukaran. Mungkin bukan hari ini, tetapi apabila tiba masanya kita tahu apa perlu dilakukan dan diperbetulkan.

“Yakinilah keteguhan sebuah negara bergantung kepada kekuatan jati diri rakyatnya. Bukan sahaja dalam aspek jasmani, tetapi juga rohani,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru