Tuesday, January 25, 2022

Banjir: 3,500 anggota polis Sarawak siap sedia

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 3,500 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi bencana banjir pada musim Monsun Timur Laut ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

Menurut beliau,  bilik gerakan banjir di setiap daerah juga akan beroperasi selama 24 jam untuk memantau situasi semasa dan membantu mangsa yang terjejas.

Katanya, polis juga telah mengenal pasti bahagian selatan negeri ini sebagai kawasan yang berisiko.

“Kita difahamkan hujan yang turun secara berterusan berkemungkinan boleh menyebabkan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pembentangan Pencapaian PDRM Sarawak bagi tahun lepas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Katanya, semua anggota PDRM Sarawak diarahkan membuat pengawasan bersama-sama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di kawasan yang berisiko.

Ini katanya, termasuk penempatan di tebing sungai dan kampung-kampung.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di 10 kawasan di Sarawak hingga Sabtu.

Selain itu, MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook  turut memaklumkan  angin kencang  juga berlaku di negeri ini pada tempoh tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru