Tuesday, August 16, 2022

Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM saman penulis artikel

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki telah memfailkan saman fitnah terhadap bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Lalitha Kunaratnam berhubung artikelnya yang disiarkan oleh portal agensi berita Independent News Service (INS), tahun lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Azam iaitu Megat Abdul Munir seperti dipetik Bernama, saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Zain Megat & Murad semalam.

Beliau berkata saman itu adalah berkaitan dengan artikel yang diterbitkan oleh defendan dalam INS pada 26 Okt dan 15 Dis tahun lepas.

“Tanpa memberikan maklum balas kepada Surat Tuntutan anak guam kami yang dikeluarkan pada 6 Jan, defendan melalui peguamnya telah mengeluarkan kenyataan di akaun Twitter yang menyatakan beliau berpegang teguh dengan dakwaan dalam artikel itu, yang ditegaskan oleh anak guam kami sebagai fitnah.

“Oleh itu, anak guam kami terpaksa memfailkan saman ini sebelum tamat tempoh 14 hari daripada tarikh Surat Tuntutan demi menjaga nama baik, reputasi dan kedudukan profesional beliau.

“Dengan berbuat demikian, anak guam kami hanya menggunakan haknya sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang terpakai untuk mendapatkan relif sewajarnya daripada mahkamah.

“… dan anak guam kami amat yakin bahawa ini akan turut memberikan defendan hak dan peluang yang sama untuk menjustifikasikan dakwaan beliau di mahkamah dan bukan hanya sekadar terlibat dalam perbicaraan oleh media,” katanya.

Megat berkata anak guamnya tidak akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk mendengar saman tersebut serta membuat keputusan sewajarnya.

“Akhir sekali, anak guam kami sekali lagi menegaskan bahawa SPRM komited untuk melindungi semua pemberi maklumat yang berada di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru