Saturday, January 22, 2022

Aktifkan semula PRS 30

Secara Rawak

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkemungkinan akan mengaktifkan semula PRS 30 yang melibatkan ahli berusia di bawah 30 tahun sekali gus melakukan pembaharuan dan penstrukturan semula.

Setiausaha Agung PRS Datuk Janang Bungsu berkata, dahulu PRS sememangnya sudah mempunyai PRS 30 tersebut.

“Seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang mempunyai sayap Puteri.

“Selain itu, di bawah PRS 30 kali terakhir, kami mempunyai sub sayap bernama Angels,” katanya dalam sesi temu bual eksklusif.

Beliau berkata demikian untuk menjawab soalan sama ada PRS akan mengikut jejak Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam menubuhkan sayap khas baharu untuk memenuhi keperluan belia berumur 18 hingga 28 tahun.

Sehubungan itu tambahnya, Pemangku Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum mengatakan sebelum ini bahawa perkara itu Majlis Tertinggi parti pada 22 Januari nanti.

“Undi 18 mula masuk dan parti kita juga perlu menetapkan semula diri supaya lebih relevan sekali gus melihat kelemahan kita. “Kami mungkin melakukan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang, dan ancaman) untuk apa yang berlaku dalam PRS 30.

Kemudian, kami mungkin akan menyusun semula strategi,” ujarnya.

Janang berkata, PBB masih belum menamakan sayap baharu mereka tetapi PRS sudah mempunyai nama mereka jika mahu mengaktifkan semula PRS 30.

Menurutnya, dalam kes tersebut juga pihaknya mungkin memberikan tumpuan kepada mereka yang berumur 18 hingga 30 tahun.

“Terdapat ramai lagi Dayak yang berkelayakan di luar sana, ada yang merupakan pensyarah muda di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) atau Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Bagaimanapun, ia bukan sematamata mengenai dorongan akademik tetapi lebih kepada mencari mereka yang mempunyai idea segar untuk menyertai parti.

“Ayuh sertai PRS, kami mengalu-alukan dengan tangan terbuka jika mereka yang ingin terlibat.

Mari kita lakukan bersama-sama,” tegasnya.

Ketika ditanya sama ada beliau menjangkakan GPS akan membentuk sayap serupa di bawah gabungan itu sendiri bagi menampung kumpulan umur ini, katanya perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi GPS akan datang.

“Ini salah satu isu yang akan kita bangkitkan dalam masa terdekat bersama sayap Pemuda GPS yang diketuai oleh Datuk Gerald Rentap Jabu,” kata Janang.

Mengulas mengenai impak Undi 18, beliau memberitahu pembangkang mungkin beranggapan golongan di bawah umur 30 tahun semuanya menyokong mereka tetapi ini tidak semestinya berlaku.

“Ada antara mereka menyokong kerajaan. Jadi ia merupakan ruang yang adil di luar sana.

Undi 18 merupakan pemangkin kepada transformasi negara dalam membolehkan golongan muda terlibat dalam politik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Janang menegaskan golongan muda ini akan memberi kesan kepada pilihan raya umum akan datang tetapi beliau percaya GPS mempunyai strategi tersendiri untuk mendekati mereka.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru