Saturday, June 25, 2022

Abang Johari  berjaya keluar dari bayangan Taib, Adenan

Secara Rawak

Hari ini genap lima tahun pelantikan  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam Sarawak. Dalam tempoh lima tahun Abang Johari telah  berjaya mengisi kasut besar yang ditinggalkan oleh dua orang bekas bossnya – Tun Abdul Taib Mahmud dan Tan Sri Adenan Satem.

Beliau mengesahkan kebolehan dan keupayaannya sebagai seorang Ketua Menteri yang mengutamakan semua kaum. Dasar inklusif dan adil yang menjadi pegangannya menyebabkan kepemimpinannya diterima baik oleh  semua kaum dan agama di negeri ini.

Tugas mengisi kasut besar bukan mudah, tetapi dengan segala kemahiran, pengalaman, wawasan dan komitmennya, Abang Johari berupaya melakukannya.

Abang Johari dengan cepat telah dapat memisahkan dirinya daripada bayang-bayang itu. Beliau berjaya membebaskan dirinya daripada bayangan panjang dan besar kedua-dua tokoh itu.

Terbaharu, Abang Johari  lelaki berbintang Leo yang lahir pada 4 Ogos 1950 di Limbang ketika ayahnya menjadi Pegawai Daerah di situ,  membuktikan keupayaannya dengan gayanya sendiri.

Pada 18 Dis lalu, beliau mengikut kejayaan paling cemerlang bagi dirinya dan bagi parti pemerintah Sarawak apabila GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Seyogia diingat, itu merupakan prestasi terbaik pernah dicatat oleh parti pemerintah di Sarawak sejak PRN pertama pada 1969,  lebih 50  tahun lalu.

Abang Johari telah menampilkan cukup banyak perubahan bagi menjadikan dirinya sebagai pemimpin hari muka  bagi rakyat negeri Sarawak yang mempunyai 2.8 juta penduduk. Beberapa perubahan yang dilakukannya dapatlah dianggap sebagai landmark dalam pentadbiran beliau setakat ini.

Harus diingat,  beliau telah memperkenalkan lebih daripada 110 inisiatif meliputi pelbagai bidang, termasuk politik, ekonomi, prasarana, sosial, pendidikan, telekomunikasi, pertanian, dan  perumahan. Semua inisiatif itu meninggalkan kesan mendalam dalam usaha untuk memperbaiki kualiti hidup dan kesejahteraan hidup rakyat.

Abang Johari sedar bahawa dia berdepan cabaran mengisi ‘kasut besar’ yang ditinggalkan oleh Taib dan Adenan.

Beliau bukan sahaja akan cepat dinilai dari segi stail berucap, isi ucapan, pemikiran, dasar, cara menyelesaikan masalah, ketegasan, perjuangan untuk Sarawak, tetapi juga sejauh mana beliau boleh membawa perubahan kepada Sarawak.

Masalah pembangunan luar bandar telah banyak diusahakannya.  Hakikatnya, tumpuan kepada pembangunan luar bandar menjadi antara keutamaannya. Hal ini dapat dibuktikan daripada  peratusan peruntukan lebih daripada 60 peratus untuk pembangunan di luar bandar.

Pelbagai agensi wilayah yang bertujuan untuk memacu dan mempercepat pembangunan di pelbagai wilayah juga diberi perhatian.   Beliau bertekad hendak menyelesaikan masalah bekalan air, elektrik dan prasarana terutama jambatan. Boleh dikatakan beliau ialah arkitek pembangunan luar bandar Sarawak.

Abang Johari sedar, di Sarawak, golongan belia terdiri daripada kira-kira 60 peratus daripada penduduknya. Justeru,  peralihan ke arah ekonomi digital akan memberikan peluang kepada golongan muda yang celik Internet untuk terlibat secara aktif dalam mendigitalkan ekonomi.

Malah, sejak menjadi Ketua Menteri beliau merekodkan sejarah apabila membentangkan untuk empat tahun berturut-turut belanjawan besar, sekitar RM10 bilion setahun dari 2018 hingga 2022.

Ia bersejarah untuk negeri ini sendiri dan juga untuk Malaysia, kerana hakikatnya, belanjawan Sarawak merupakan belanjawan bagi mana-mana negeri di negara ini, termasuk negeri maju seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Nampaknya Abang Johari telah menggunakan political will yang berada dalam Kerajaan Negeri Sarawak mengambil pendekatan merancang pembangunan holistik untuk semua kaum tanpa meminggirkan kaum tertentu. Setiap projek pembangunan yang dirancang kerajaan melibatkan pembangunan untuk semua kaum di Sarawak.

Sesungguhnya, cabaran yang dihadapi rakyat selepas ancaman Covid-19 bukannya kecil, dari segi ekonomi, kewangan dan peluang pekerjaan. Kita berharap jangkitan Covid-19 akan berakhir, dan kini ada tanda Sarawak akan keluar daripada kemelut berkenaan.

Dalam manifesto menjelang PRN-12,  Abang Johari menegaskan, dengan mandat penuh daripada rakyat Sarawak untuk tempoh lima tahun lagi, GPS berjanji dan bertekad untuk terus melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi mempertingkatkan kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan dan kegemilangan demi rakyat Sarawak.

Itulah sebabnya beliau mengambil masa 12 hari untuk memikirkan dan mempertimbangkan wakil rakyat terbaik bagi menggalas tugas dan tanggungjawab berat yang terletak di atas bahu beliau dan Kerajaaan GPS.

Kesudahannya, kabinet yang dibentuknya bukan sahaja memenuhi kehendak parti komponen, tetapi juga bersikap inklusif dengan menampilkan semua kaum, termasuk Orang Ulu.

Mandat kukuh  perlu dimanfaatkan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat. Kabinet ini perlu dilihat bergerak sebagai pasukan padu di atas landasan  yang sama dan betul.

Kabinet itu  juga perlu sentiasa mengutamakan rakyat dengan bekerja bersungguh-sungguh, tanpa terjebak dalam perlakuan dan perbuatan yang dapat mencemarkan imej dan reputasi kerajaan.

Rakyat percaya dengan komitmen dan integriti beliau sebgai Ketua Menteri, Sarawak dapat bergerak di atas landasan yang tepat dalam usaha mencapai agendanya.

Abang Johari sentiasa mengulangi komitmennya untuk menjadi Ketua Menteri semua rakyat Sarawak, dan kepentingan rakyat Sarawak akan terus menjadi keutamaan dan keprihatinannya.

\Rakyat Sarawak bertuah mendapat seorang Ketua Menteri yang sangat komited dengan tugasnya. Selamat menyambut ulang tahun kelima sebagai Ketua Menteri Sarawak, Abang Jo.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru