Tuesday, January 18, 2022

Kes penipuan internet semakin rancak

Secara Rawak

KES tipu dalam talian bukan perkara baharu di Malaysia mahupun Sarawak, lebih-lebih lagi dengan kemudahan teknologi ketika ini.

Istilah hanya “di hujung jari” jika dilihat dari sudut positif sememangnya sangat membantu dalam banyak perkara seperti mencari maklumat, membuat bayaran menerusi transaksi dalam talian dan banyak lagi.

Bagaimanapun, umum mengetahui setiap perkara mempunyai baik dan buruk, begitu juga teknologi. Dari sudut negatif, ia tidak lari dan sememangnya memberikan kesan dalam dunia ketika ini.

Jika dilihat dengan lebih mendalam, teknologi juga memudahkan kita berhubung dengan rakan atau ahli keluarga yang jauh sama ada di perantauan dan luar negara. Tidak cukup dengan itu, perhubungan itu juga semakin erat dan rancak dengan kemunculan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan aplikasi WhatsApp.

Dalam keasyikan masyarakat menggunakan kemudahan sedemikian, terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan membuat penipuan dalam talian, termasuk penipuan cinta (love scam), jual beli dan banyak lagi.

Taktik licik yang digunakan oleh sesetengah individu atau sindiket sangat mudah memperdayakan mangsa penipuan dalam talian ini. Mereka juga bijak bermain kata-kata sehingga ada antara mangsa yang panik, lalu termakan dengan penipuan mereka.

Memetik laporan berita tempatan, sikap panik, takut dan sikap terburu-buru ingin menyelesaikan masalah berkaitan undang-undang merupakan antara faktor utama masyarakat menjadi mangsa kepada Macau Scam.

Menurut Pensyarah Perubatan di Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Bernard Ting, walaupun jenayah tersebut sering dilaporkan secara aktif dalam media sosial, namun masih terdapat sejumlah besar yang tertipu.

Bermula 12 Januari hingga 31 Mac 2021, sebanyak 46 kes penipuan Macau Scam melibatkan kerugian RM1.9 juta telah dilaporkan di Sarawak.

Melihat perkara tersebut, ia bukan perkara yang boleh dipandang remeh oleh semua pihak khsususnya mereka yang berpotensi untuk menjadi mangsa seperti warga emas dan sebagainya.

Walaupun kes Macau Scam ini dilaporkan di media elektronik, media cetak bahkan dikongsikan di laman sosial tetapi masih ada masyarakat kita yang menjadi mangsa.

Apakah punca kepada permasalahan ini? Adakah masyarakat kita masih tidak sedar akan kewujudan Macau Scam ini? Bagaimanakah cara untuk mengatasi isu tersebut?

Berhati-hati, berjaga-jaga dan buat rujukan kepada pihak yang tepat. Ya, kita tahu apabila berdepan dengan situasi ketika dihubungi oleh “scammer” lebih-lebih lagi melalui panggilan telefon, ia bukan perkara yang mudah.

Segelintir daripada mereka ini juga sangat bijak bermain dengan psikologi mangsa dengan bercakap termasuk mengeluarkan akta-akta tentang hukuman sekiranya tidak menuruti arahan mereka.

Sememangnya apabila kita berdepan dengan situasi ini, kita akan panik dan ingin menuruti apa-apa sahaja kemahuan mereka termasuk membuat transaksi dalam talian dan tanpa sedar, kita juga telah membuat pemindahan wang dalam jumlah yang besar.

Bagaimanapun, jika berdepan dengan situasi ini, tidak salah sekiranya kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat rujukan kepada pihak yang lebih tahu.

Sebagai contoh, jika kita dihubungi oleh individu berhubung dengan nombor TAC yang masuk ke dalam telefon bimbit — biasanya mereka akan meminta kita berkongsikan nombor tersebut untuk pemindahan wang atau pembelian barangan dalam talian.

Untuk perkara sedemikian, tidak salah sekiranya kita membuat rujukan kepada pihak lain bahkan pihak bank untuk mendapatkan kepastian. Tidak cukup dengan itu, kita juga tidak boleh mendedahkan maklumat peribadi kepada orang  lain termasuk nombor TAC tersebut apalagi sekiranya kita sendiri tidak melakukan sebarang transaksi.

Untuk rekod, laporan pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac hingga 4 Ogos 2020 mendedahkan jenayah e-dagang mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 2,500 kes dengan kerugian dicatatkan RM17 juta.

Oleh itu, bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian ini kita mesti sentiasa berhati-hati dalam setiap perkara. Jangan mudah teperdaya atau termakan dengan pujuk rayu orang lain.

Sekiranya ada menerima panggilan yang mencurigakan, adalah lebih baik kita merakam perbualan tersebut dan ia juag boleh digunakan sebagai bukti atau rujukan kepada pihak berkuasa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru