Monday, May 16, 2022

Dua anggota polis dipecat bermain Pokemon Go semasa bertugas

Secara Rawak

LOS ANGELES: Dua pegawai polis LAPD dipecat pada 2017 kerana tidak menjalankan tugas dan mereka gagal dalam permohonan untuk diserap semula ke jabatan polis.

Menurut dokumen mahkamah, kamera video kereta skuad mendedahkan dua pegawai, Louis Lozano dan Eric Mitchell mengabaikan permintaan bantuan rakan sepasukan mereka gara-gara asyik dengan permainan Pokemon Go.

Ketika kejadian, Lozano dan Mitchell berada berhampiran lokasi rompakan. Apabila pegawai di situ meminta bantuan kedua-duanya tidak mengendahkan permintaan itu sebaliknya pergi ke tempat lain.

Apabila kedua-duanya ditanya mengapa mereka gagal menjawab panggilan itu, pegawai berkenaan mendakwa mereka berada di kawasan yang bising dan tidak dapat mendengar radio di dalam kereta.

Ketua pasukan yang tidak puas hati dengan jawapan tersebut bertindak memeriksa kamera kereta; ternyata mereka berdua mendengar panggilan tersebut, tetapi masih memilih untuk meninggalkan lokasi jenayah.

Dia kemudiannya telah membuat aduan kepada pihak atasan dan siasatan dimulakan.

Mitchell dan Lozano menafikan mereka bermain Pokemon Go dan sebaliknya hanya berbual kosong berkaitan permainan tersebut.

Menurut rekod rakaman dalam kereta, selama kira-kira 20 minit seterusnya, mereka asyik membincangkan perihal Pokémon.

Kedua-duanya dikatakan dalam misi mencari makhluk maya yang telah muncul pada telefon bimbit mereka.

Ketika dalam perjalanan menangkap ‘Snorlax’, Mitchell memaklumkan kepada Lozano bahawa “Togetic baru sahaja muncul.”

Dalam pada itu, keputusan mahkamah seperti dipetik oleh Independent, menyatakan bahawa “pemohon mengaku meninggalkan kawasan lokasi jenayah untuk mencari Snorlax, tetapi mereka menegaskan ia dilakukan sebagai sebahagian daripada ‘rondaan tambahan’ dan untuk ‘mengejar makhluk mitos.’

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru