Thursday, May 19, 2022

Bilik gerakan banjir kini diaktifkan

Secara Rawak

KUCHING: Sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan banjir, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah mengaktifkan bilik gerakan banjir. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bilik gerakan banjir akan mengerakkan aset dan bantuan sekiranya berlaku banjir. 

“Sekiranya ada tanda air naik, kita ada siren di stesen telemetri bagi memberi amaran kepada penduduk di kawasan itu supaya berpindah ke kawasan lebih tinggi. 

“Dengan ramalan cuaca kurang baik oleh Jabatan Meteorologi untuk beberapa hari ini, mereka yang tinggal di kawasan rendah perlu berwaspada dan sentiasa mengikut nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya ketika lawatan kerja ke Baraj Sungai Sarawak pada Selasa. 

Mengulas lanjut lawatannya ke baraj itu adalah untuk memastikan sistem kawalan dan stesen telemterinya berfungsi dengan baik bagi menghadapi musim Monsun Timur.

Data hujan dan paras air dari kawasan tadahan Sungai Sarawak akan dihantar setiap 30 minit dari 20 stesen telemetri untuk operasi kawalan banjir yang berkesan. 

Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan di 10 buah kawasan di Sarawak mulai 11 hingga 13 Januari ini. 

Antara kawasan yang terjejas ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit (Kapit dan Song) dan Bintulu (Tatau). 

Hadir sama Menteri Muda Datuk Jerip Susil dan Datuk Henry Harry Jinep.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru