Tuesday, June 28, 2022

Tragedi Kebakaran : SMK Balai Ringin komited teruskan persekolahan

Secara Rawak

SERIAN: Pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin masih bersemangat meneruskan sesi persekolahan meskipun menghadapi insiden kebakaran pada Sabtu lepas.

Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn memberitahu, beliau bangga dengan semua warga sekolah yang komited memastikan operasi persekolahan dapat diteruskan seperti biasa.

Jelasnya, pihak Bomba diminta untuk mempercepatkan proses siasatan bagi meneruskan kerja merobohkan bangunan blok pentadbiran yang telah musnah terbakar yang melibatkan bilik guru di tingkat atas.

Roland menambah, pihak kementeriannya turut sedia membantu bagi melengkapkan kemudahan yang diperlukan untuk sekolah.

“Kami akan berusaha untuk memberikan bantuan kerana saya pasti pihak sekolah memerlukan banyak lagi kemudahan yang lain selain daripada bangunan blok itu sendiri.

“Jadi tidak salah pihak sekolah untuk memberikan cadangan atau memohon bantuan daripada pihak kementerian untuk manfaat pendidikan anak-anak di kawasan ini,” katanya ketika melakukan lawatan ke SMK Balai Ringin pada Isnin.

Menurut Pengetua SMK Balai Ringin, Zakaria Dolmat, para guru ditempatkan di Dewan SMK Balai Ringin sementara mencari tempat yang lebih sesuai.

Turut hadir ialah Menteri Muda Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr. Annuar Rapa’ee, Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Datu Kameri Affandi, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Infrastruktur Dan Perolehan JPNS, Wan Fadilah Wan Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Chali Ungang, Residen Bahagian Serian, Tuah Suni dan Ketua Balai Bomba Serian, James Gani.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru