Tuesday, June 28, 2022

Thomy Thomas sepatutnya lebih berani,  kata Zahid

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sebenarnya tiada siapa mahu mempertikaikan atau mempersoalkan jawatan Peguam Negara di bawah Perlembagaan dan juga berkenaan Perkara 145(3) mengenai kuasa budi bicara.

Menurut Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,  yang rakyat mahu tahu adakah mungkin telah berlaku campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Justeru, Tommy Thomas sepatutnya bersikap lebih ‘gentleman’ dan berani mengambil tanggungjawab terhadap kandungan buku memoirnya sendiri.

“Membantu supaya kebenaran terungkai kerana sebagai bekas Peguam Negara beliau sepatutnya lebih memahami ‘justice’ adalah tentang kebenaran,” kata beliau melalui satu catatan di Facebook.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas mengenai bekas Peguam Negara semasa era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, Tan Sri Tommy Thomas yang dilaporkan enggan memberi kerjasama kepada pasukan petugas khas yang ditubuhkan kerajaan baharu.

“Pasukan petugas khas bagi menyiasat pendedahan yang dibuat sama ada.secara tidak sengaja atau secara sengaja dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness,” kata  Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN.

“Pendedahan yang menimbulkan persoalan kemungkinan berlaku campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan semasa negara di bawah pentadbiran kerajaan 22 bulan,” katanya lagi.

Kata Ahmad Zahid, seperti yang pernah beliau timbulkan negara memerlukan jawapan kepada segala persoalan di sebalik pendedahan menerusi buku tersebut kerana ia melibatkan maruah serta keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Persoalan yang terungkai malah berpotensi menjawab kepada lebih banyak persoalan kepada apa yang berlaku selepas tarikh 9 Mei 2018,” kata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Ulas Ahmad Zahid lagi, antara alasan Tommy Thomas enggan memberi kerjasama kerana jawatan Peguam Negara di bawah Perlembagaan dan pasukan petugas itu boleh menjejaskan kebebasan Pejabat Peguam Negara.

“Beliau turut memberi alasan Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya diberi kuasa mengikut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru